Bukan Bergaduh, BN Cuma Jawab Tohmahan PN – Zahid

KUALA LUMPUR -Barisan Nasional (BN) tidak bergaduh sebaliknya cuma menjawab tohmahan dilemparkan oleh lawan politik termasuk Perikatan Nasional (PN),” kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu menyatakan, jika tidak dijawab bimbang ada lagi yang akan terpengaruh seperti ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Yang telah dijawab pun tetap mereka akan putar belitkan. Inikan kalau tidak dijawab.

“Maka menjadi kewajipan BN untuk mempertahankan diri dan menjelaskan yang sebenar kepada umum,” kata beliau.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, PN baru disindir sedikit sudah melenting, tetapi bertalu-talu tohmahan ditujukan kepada BN tidak mengapa.

Pun begitu ujar Zahid, Pakatan Harapan (PH) belum nampak bergaduh menjelang PRN Johor kerana tidak ‘diserang’ oleh PN.

“Apa pun itu yang agak menghairankan sedangkan pimpinan PN sering melabelkan PH musuh umat yang nyata.

“Tetapi jadi sasaran bertubi-tubi PN kali ini adalah BN sehinggakan fitnah terhadap Pengerusi BN diulang semula.

“Mengapa terdapat perbezaan sikap PN terhadap BN dan PH untuk PRN Johor kali ini biar rakyat merumuskan,” bidas beliau.