Gambar Fail

KUALA LUMPUR – Ada varian baru yang lebih cenderung kepada penyakit hati yang didakwa lebih berbahaya, lebih cepat menular dan lebih degil sifatnya yakni varian taasub dengan kluster mahkamah,” kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hmaidi.

Namun katanya, ia tidak sedikit pun berkaitan dengan Covid-19 kerana ini bukan varian daripada virus yang disebarkan oleh penyakit fizikal, tetapi penyakit hati.

“Namanya varian ‘taasub kepada kluster mahkamah’. Simptomnya mudah. Setiap hari mereka akan meratib, kluster mahkamah, kluster mahkamah dan kluster mahkamah.

“Apa-apa sahaja isu di negara kita ini, puncanya kluster mahkamah. Pakatan Harapan (PH) tumbang, kluster mahkamah. Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kluster mahkamah. PRN Melaka, kluster mahkamah. Dan sudah pastilah, PRN Johor, kluster mahkamah.

“Hampir tidak ada masalah dalam negara kita ini yang bukan berpunca dari kluster mahkamah,” kata Presiden UMNO itu.

Zahid memberitahu beliau tidak begitu risau akan varian-varian Covid-19 ini sebenarnya namun lebih bimbangkan varian terbaru tersebut.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menambah, selepas beliau mempertikaikan peranan dan kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang tampak tidak berbuat apa-apa bagi memulihkan negara, kini seterunya Tun Dr Mahathir Mohamad dari Pejuang mengutip sifir yang sama – bahawa PRN Johor adalah demi kepentingan kluster mahkamah.

“Walaupun pada hakikatnya, tidak ada seorang dari pemimpin UMNO yang dilabel kluster mahkamah ini yang bertanding di Johor. Dan walaupun semua mereka yang dilabelkan kluster mahkamah ini mengambil pendekatan menyerahkan semuanya kepada mahkamah.

“Barangkali kali kerana saya dan rakan turun ke Johor. Jadi kerana itulah naratif ini diulang-ulang. Atau barangkali ini cara Tun Mahathir sebenarnya mahu menempelak secara halus wakil kluster mahkamah dari MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut menjual naratif mahu menyelamatkan Malaysia bermula dengan Johor. Bak kata orang dulu-dulu, pukul anak sindir menantu,” tempelak Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyebut pada mereka yang dijangkiti varian baharu ini, apa-apa sahaja yang berlaku di Johor adalah cerminan kepada apa yang akan berlaku di peringkat pusat.

“Walaupun agak tidak logik dan tidak matang, tetapi naratif ini mudah disebarkan.

“Warga bangsa Johor, kalian harus berasa bangga. Bangsa Johor sedang diangkat sebagai gerbang politik dan masa depan Malaysia.

“Pastikan kita memilih kestabilan di Johor dengan terus bersama BN. Jadikanlah PRN Mac nanti, satu ‘suntikan vaksin’ dan dos penggalak yang akan menyembuhkan varian politik baharu ini,” kata Zahid lagi.