KUALA LUMPUR — UMNO akan menerajui cadangan Kolaborasi Agung yang melibatkan parti-parti politik Melayu-Islam bagi menyatukan pemikiran serta gerak kerja kepimpinan dalam memperkukuh agenda Melayu dan Islam, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, kolaborasi berkenaan bukan berbentuk gabungan politik atau pakatan pilihan raya, sebaliknya satu pendekatan kerjasama longgar yang bermula dengan perbincangan dan muzakarah antara kepimpinan utama parti-parti terlibat.
“Kolaborasi Agung ini bukan satu coalition dan bukan pakatan pilihan raya. Ia adalah satu bentuk kerjasama longgar untuk menyatukan pemikiran dan gerak kerja parti-parti politik Melayu-Islam, khususnya dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan Melayu dan Islam,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO, hari ini.
Zahid menegaskan bahawa inisiatif tersebut tidak bertujuan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan yang ada, sebaliknya dilaksanakan secara berhemah dan bertanggungjawab.
“Saya ingin tegaskan dengan jelas bahawa Kolaborasi Agung ini tidak berhasrat untuk mengganggu atau menggugat kestabilan kerajaan sedia ada. Ini bukan usaha menjatuhkan sesiapa, tetapi satu inisiatif murni UMNO yang lahir daripada tuntutan akar umbi,” katanya.
Menurut beliau, cadangan itu telah dibawa secara rasmi sebagai usul Presiden dan diterima oleh para perwakilan UMNO, selaras dengan Perlembagaan UMNO yang menjadikan keputusan Perhimpunan Agung sebagai pendirian rasmi parti.
“Usul ini diterima oleh perwakilan dan ia menjadi pendirian rasmi parti. UMNO mengambil langkah ke hadapan untuk memulakan perbincangan dengan semua parti politik Melayu dan Islam yang berhasrat untuk menjayakan kolaborasi ini,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, pertemuan awal akan melibatkan kepimpinan tertinggi parti-parti berkaitan, termasuk presiden, timbalan presiden, naib presiden serta barisan kepimpinan utama seperti setiausaha agung dan ketua penerangan.
“Kita akan mulakan dengan kepimpinan utama, top leadership parti-parti berkenaan, supaya perbincangan ini berjalan secara tersusun, matang dan strategik,” katanya.
Mengulas perbandingan dengan Muafakat Nasional, Zahid menegaskan Kolaborasi Agung bukan kesinambungan atau versi baharu kepada kerjasama tersebut.
“Ini bukan Muafakat Nasional 2.0 dan kita tidak menggunakan istilah itu kerana Muafakat Nasional telah didaftarkan sebagai sebuah NGO. Apa yang kita cadangkan ini jauh lebih luas dan melangkaui kerangka Muafakat Nasional,” katanya.
Beliau menambah, Kolaborasi Agung memberi ruang perbincangan terbuka tanpa sebarang perjanjian rasmi, sekali gus membolehkan parti-parti terlibat mencari titik persamaan demi kepentingan bersama.
“Tiada perjanjian, tiada ikatan, tetapi ada keikhlasan untuk duduk berbincang. Ini adalah langkah awal untuk menyatukan kekuatan Melayu-Islam secara strategik dan berhemah,” katanya.



