KUALA LUMPUR – UMNO tidak perlu berasa gentar atau berada dalam keadaan defensif terhadap mana-mana parti politik, termasuk DAP, sebaliknya perlu melangkah ke hadapan dengan pendekatan politik masa depan yang lebih matang dan berpaksikan keyakinan sendiri.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, cabaran sebenar yang perlu diberi perhatian bukanlah kekuatan parti lain, tetapi perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang boleh melemahkan kedudukan kaum majoriti serta kestabilan negara.
“Ini politik masa hadapan, kita tidak perlu takut kepada sesiapa. Kenapa kita perlu takut dengan DAP? Saya tidak rasa ada sebab pun kita perlu takut dengan DAP.
“Kita tidak pernah takut dengan Gerakan, MCA dan mana-mana parti bukan berteraskan Melayu. Apa yang perlu kita takut apabila Melayu tidak bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Johari turut menyentuh soal kepentingan penyatuan orang Melayu menerusi penubuhan Rumah Bangsa yang disifatkan sebagai langkah penting untuk mengukuhkan kembali kedudukan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya gembira dengan pengumuman untuk menubuhkan Rumah Bangsa ini. Saya tahu ada yang suka dan tidak suka tapi ini lumrah dalam parti. Saya berharap ia menjadi kenyataan sebelum sebelum PRU16 akan datang.
“Tanggungjawab kita sangat besar untuk memastikan UMNO terus relevan dipercayai dan memainkan peranan dalam menentukan masa depan negara, maka penyatuan orang Melayu ini penting.
“Pergilah ke mana-mana di dunia ini, negara yang mempunyai sesuatu kaum majoriti, negara itu tidak akan stabil kalau komuniti majoriti sudah berpecah hingga tidak lagi menjadi majoriti,” katanya.
Sebelum itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Jumaat mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula bekas ahli parti tersebut.
Mengulas lanjut, Johari berkata, mana-mana negara yang kehilangan kepercayaan terhadap kaum majoriti akan berdepan kesukaran untuk kembali berkuasa serta mengekalkan kestabilan politik.
Beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menegaskan UMNO perlu bergerak ke arah politik masa depan yang tidak lagi bergantung kepada emosi dan retorik semata-mata, sebaliknya bersandarkan realiti semasa serta kesiapsiagaan menghadapi cabaran baharu politik negara.



