Cadangan Kolaborasi Agung Melayu-Islam Disambut Baik Perwakilan PAU 2025

KUALA LUMPUR — Cadangan Presiden UMNO supaya diwujudkan satu kolaborasi agung antara parti-parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam mendapat sambutan positif daripada para perwakilan dalam Persidangan Agung UMNO (PAU) 2025.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Azalina Othman Said, cadangan tersebut bukan bersifat koalisi politik dan tidak bertujuan menggugat atau menggantikan Kerajaan Perpaduan MADANI yang sedang mentadbir negara.

Sebaliknya, jelas beliau, kolaborasi itu dicadangkan sebagai satu ruang musyawarah dan kerjasama berasaskan titik persamaan, khususnya berkaitan isu-isu kepentingan Melayu dan Islam.

“Perwakilan telah menyatakan persetujuan secara jelas apabila Presiden mengemukakan cadangan ini dan sokongan tersebut dizahirkan sebanyak tiga kali di dewan persidangan,” katanya, sekali gus mencerminkan kesepakatan agar perbincangan seumpama ini diadakan secara matang dan bertanggungjawab. 

Azalina turut menegaskan bahawa realiti semasa, termasuk isu-isu sensitif berkaitan 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja, memerlukan ruang dialog yang jujur serta terkawal. Mengelak daripada membincangkan isu-isu tersebut, katanya, hanya akan membuka ruang kepada eksploitasi tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu. 

Justeru, penubuhan platform dialog ini dilihat sebagai usaha memberi ruang perbincangan kepada masyarakat Melayu yang merupakan majoriti di Malaysia, tanpa menafikan perbezaan politik sedia ada demi kelangsungan bangsa dan agama.

Dalam kenyataan sama, Azalina menegaskan bahawa UMNO memikul tanggungjawab tersebut secara serius kerana parti itu mempunyai legitimasi, autoriti serta kedudukan dalam kerajaan untuk membawa agenda kepentingan Melayu dan Islam ke dalam kerangka pentadbiran negara secara sah dan berkesan. 

Usaha berkenaan juga akan melangkaui sempadan politik kepartian dengan melibatkan pandangan NGO, organisasi masyarakat sivil (CSO) serta pelbagai pihak berkepentingan yang berkongsi aspirasi memperkukuh kedudukan Melayu dan Islam dalam kerangka negara majmuk.

UMNO, menurut Azalina, kekal komited terhadap kestabilan negara, perpaduan rakyat serta kelangsungan Kerajaan Perpaduan MADANI, di samping memastikan amanah terhadap agama, bangsa dan negara terus dipelihara.  

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat