KUALA LUMPUR — Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, merayu agar rakyat Malaysia bersikap adil dan munasabah dalam menilai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya susulan beberapa kes yang mencalar imej institusi itu kebelakangan ini.
Berucap dalam penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, beliau menegaskan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh segelintir individu tidak wajar dijadikan alasan untuk memandang serong keseluruhan warga ATM.
“Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Janganlah hanya kerana segelintir sahaja, semua dalam ATM dianggap sedemikian,” katanya.
Menurut beliau, masih terdapat ratusan ribu anggota ATM yang berintegriti, ikhlas berkhidmat serta sentiasa bersedia berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan kedaulatan negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar PAU 2025 dijadikan medan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tulus kepada seluruh warga ATM yang tidak terlibat dengan sebarang unsur negatif, sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.



