“Jangan Rosakkan Rumah Kami” – Umno Tegur Rakan Kerajaan

KUALA LUMPUR – UMNO memberi amaran tegas kepada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak mencampuri urusan dalaman parti itu serta mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan dan melukakan perasaan ahli-ahlinya.

Amaran tersebut disampaikan oleh Naib Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, hari ini.

Menurut Wan Rosdy, UMNO tidak pernah mencampuri hal ehwal dalaman parti lain dan prinsip yang sama harus dihormati oleh rakan-rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

“UMNO tak pernah masuk campur dalaman parti lain. Kami tak ganggu rumah kamu, dan jangan sesekali cuba masuk dan rosakkan rumah kami,” katanya dengan nada tegas.

Beliau turut mengingatkan agar rakan-rakan kerajaan menjaga tutur kata, khususnya berkaitan isu sensitif yang menyentuh perasaan orang UMNO, termasuk isu melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Wan Rosdy berkata, kesabaran UMNO ada hadnya dan sikap tolak ansur tidak seharusnya disalahertikan sebagai kelemahan.

“Kesabaran kami ada hadnya. Tolak ansur kami ada garisnya. Hormat kami juga ada batasnya,” katanya.

Dalam ucapan sama, beliau sekali lagi menegaskan pendirian UMNO untuk terus memperjuangkan keadilan buat Datuk Seri Najib, sambil menghargai keberanian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang secara terbuka memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong agar bekas perdana menteri itu dapat kembali ke pangkuan keluarga.

Wan Rosdy menegaskan bahawa tuntutan tersebut bukan semata-mata bersifat kepentingan individu, sebaliknya berlandaskan soal keadilan dan kemanusiaan yang dirasai oleh akar umbi UMNO.

Perhimpunan Agung UMNO 2025 hari ini menyaksikan beberapa peringatan keras disampaikan kepada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, mencerminkan pendirian UMNO untuk terus mempertahankan maruah parti serta kepentingan orang Melayu dan Islam dalam landskap politik negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat