Jakarta – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengucapkan penghargaan atas perhatian dan tawaran bantuan daripada beberapa negara berkaitan penanganan bencana di Sumatra. Beliau menegaskan bahawa Indonesia mempunyai kemampuan untuk menanganinya secara berdikari.
“Saya ditelepon banyak pimpinan kepala negara ingin kirim bantuan, saya bilang terima kasih, konsen Anda, kami mampu. Indonesia mampu mengatasi ini,” kata Prabowo ketika memberikan arahan dalam Sidang Kabinet Paripurna di Istana Negara, Jakarta, hari Isnin.
Presiden Republik itu menjelaskan bencana yang berlaku kini melibatkan tiga daripada 38 provinsi di Indonesia dan berada dalam keadaan terkawal. Beliau turut menolak cadangan untuk mengisytiharkan bencana nasional, menegaskan bahawa pengurusan di lapangan sedang berjalan lancar.
“Ada yang teriak-teriak ingin ini dinyatakan bencana nasional. Kita sudah kerahkan, ini tiga provinsi dari 38 provinsi. Jadi, situasi terkendali. Saya monitor terus, ya,” kata Prabowo.
Beliau menekankan kepentingan semua pihak menumpukan perhatian kepada kerja lapangan secara bersama, bukannya saling menyalahkan dalam menghadapi situasi sukar ini. Menurut Prabowo, tindakan awal menangani bencana telah dijalankan dengan cepat dan tepat, manakala koordinasi antara agensi kerajaan juga mantap tanpa perlu menunggu arahan terperinci daripadanya.
Presiden Indonesia turut memuji inisiatif pegawai dan pasukan keselamatan di peringkat pelaksana, termasuk TNI, Polri, Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), dan Basarnas, yang bergerak pantas menjadikan bencana sebagai keutamaan operasi.
“Kita kerahkan puluhan helikopter dalam waktu singkat, belasan pesawat terbang. Ada tempat-tempat yang tiap hari BBM diantar dengan pesawat terbang, dengan Hercules. Ini hanya bisa oleh negara yang kuat,” jelas Prabowo, merujuk kepada penggerahan sumber negara yang cepat dan berkesan.
Selain itu, Prabowo menegaskan bahawa pengagihan logistik diteruskan walaupun menghadapi cabaran geografi dan cuaca ekstrem, terutamanya di kawasan pergunungan. Kampung-kampung yang sukar diakses melalui jalan darat juga dikunjungi menggunakan helikopter, termasuk untuk penghantaran bahan bakar dan keperluan asas.
Prabowo turut memberi amaran kepada rakyatnya tentang pihak yang menyebarkan maklumat tidak tepat di tengah bencana, termasuk naratif bahawa kerajaan tidak hadir di lapangan. Presiden itu menekankan bahawa keadaan ini perlu diwaspadai kerana boleh dipengaruhi oleh motif tertentu, termasuk kepentingan politik.
“Sekali lagi saya minta kita waspada ke depan, karena justru di saat ini ada kecenderungan segelintir masyarakat, terutama mungkin yang punya motivasi politik, atau bahkan saya terus terang saja melihat ada mungkin pihak-pihak, kekuatan-kekuatan luar yang dari dulu selalu saya tidak mengerti, tidak suka sama Indonesia, tidak suka Indonesia kuat,” kata beliau.



