KUALA LUMPUR – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akui ada menyertai perbincangan dengan PKR, bagaimanapun belum membuat keputusan berhubung penyertaannya dalam parti itu.
Namun Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, perbincangan berkenaan tidak membabitkan jawatan di peringkat negeri mahupun pilihan raya kecil.
“Sebenarnya, saya tiada membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti, walaupun seperti yang telah disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah ada perbincangan tentang perkara ini dengan pihak yang berkaitan.
“Justeru saya amat terkejut dengan perkembangan kenyataan kepimpinan tentang perkara ini. Tambahan pula sejak isu ini mula diketengahkan saya tidak menerima sebarang panggilan dari pucuk pimpinan Umno untuk bertanyakan isu sebenar.
“Saya juga percaya bahawa hak individu untuk memilih landasan perjuangan merupakan hak asasi dan mutlak kerana tanpa keserasian mustahil untuk seseorang individu itu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik,” tegas beliau dalam kenyataan media malam tadi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu juga berkata, beliau percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat ini.
Ujarnya, ini termasuk serangan belakang tabir tanpa asas, agenda cah keting dan sebagainya, terutama sekali kerana saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem, tetapi usaha kita semua untuk membina rakyat dan negara.
” Ramai maklum isu-isu ini semua telah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks Umno Selangor tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu Umno Selangor.
“Justeru, dalam memilih wadah perjuangan politik yang sesuai bagi pembangunan rakyat dan negara seterusnya, seperti saya nyatakan, saya pernah ada berbincang dengan Parti PKR. Saya ingin tegaskan dalam perbincangan awal ini tidak ada perbincangan jawatan di peringkat Negeri mahu pun pilihan raya kecil dibincangkan.
“Walau apa pun, saya tiada pun membuat apa-apa keputusan lagi. Saya berpegang kepada prinsip apabila saya membuat sesuatu keputusan sudah tentu saya akan membuatnya dengan penuh adab dan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti saya.
“Saya merupakan anggota satu pasukan yang sedang dan akan terus melaksanakan dasar-dasar yang terbaik untuk rakyat. Saya juga percaya dan yakin khemah besar Kerajaan Perpaduan yang telah dibina selama ini mempunyai semangat kerjasama yang utuh dan toleransi yang tinggi. Kerajaan yang mampu menerima perbezaan pandangan dan pendapat di kalangan parti komponen, tanpa mengganggu gugat objektif utama iaitu mengemudi negara ke arah kesejahteraan yang terbaik buat rakyat,” katanya.
Bagi Tengku Zafrul, apa yang penting kita fokus tentang dasar untuk rakyat, berdasarkan politik yang membina dan bukan menghancurkan.