KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal sebagai penjual di Bursa Malaysia untuk minggu kelapan berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah RM882.4 juta, menyumbang kepada aliran keluar minggu tunggal kedua tertinggi dalam tempoh enam minggu lalu.
Setiap hari dagangan merekodkan aliran keluar bersih asing, dengan aliran keluar terbesar pada Khamis sebanyak RM351.2 juta.
Aliran keluar terbesar dicatatkan pada Khamis, diikuti Rabu berjumlah RM273.2 juta, Selasa (RM120.4 juta), Isnin (RM90.9 juta) dan Jumaat (RM46.7 juta).
“Berdasarkan data yang tersedia sehingga 12 Disember 2024, satu-satunya sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih adalah pembinaan (RM50 juta), penjagaan kesihatan (RM17.5 juta), dan hartanah (RM10 juta).
“Sementara itu, sektor yang mencatat aliran keluar bersih asing tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM318.1 juta), utiliti (RM234.4 juta), dan teknologi (RM76.7 juta),” katanya dalam laporan aliran dana bagi minggu berakhir 13 Disember, lapor BH pada Isnin.
Sementara itu, institusi tempatan sekali lagi muncul sebagai penyokong utama bursa tempatan, mencatat aliran masuk RM995.5 juta dan tiada aliran keluar pada sepanjang minggu daripada kelas pelabur ini, dengan Rabu dan Khamis menyaksikan aliran masuk tertinggi, masing-masing pada RM264 juta dan RM352.2 juta.
MIDF berkata, peruncit tempatan pula kekal sebagai penjual bersih minggu lalu, dengan aliran keluar berjumlah RM113.1 juta, 2.65 kali kurang daripada aliran keluar pada minggu sebelumnya.
“Aliran keluar daripada kumpulan pelabur ini pada setiap hari kecuali Rabu, yang mencatat aliran masuk RM9.2 juta manakala aliran keluar tertinggi direkodkan pada Jumaat, berjumlah RM83 juta,” kata MIDF.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan penurunan membabitkan semua kategori pelabur minggu lalu.
Pelabur asing dan pelabur institusi tempatan masing-masing merekodkan penurunan 20.5 peratus dan 8.3 peratus manakala pelabur runcit tempatan berkurangan 14.4 peratus.