KPLB komited sediakan akses jalan kampung berkualiti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sentiasa komited dalam memastikan penduduk luar bandar menerima kemudahan infrastruktur yang sewajarnya termasuklah pelaksanaan projek-projek seperti Jalan Perhubungan Desa (JPD) di kawasan-kawasan kampung di Negeri Sembilan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, di bawah Teras 4,Dasar Pembangunan Luar Bandar, pihak kementerian telah menggariskan Liputan Prasarana Luar Bandar Yang Lengkap untuk memastikan akses perhubungan masyarakat luar bandar.

“Bagi memastikan penduduk setempat mendapat kemudahan akses jalan yang berkualiti dan selesa di kawasan kampung, pihak kementerian akan sentiasa menambah baik pelaksanaan dari segi proses,kaedah dan pemantauan projek supaya memenuhi spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan.

“Ini penting untuk memastikan pelaksanaan projek ini mencapai hasrat kesejahteraan hidup masyarakat dalam aspek fizikal, ekonomi dan sosial,” ujarnya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Selain itu katanya,bagi mewujudkan kesamarataan taraf hidup ekonomi masyarakat luar bandar,KPLB bukan sahaja memberi tumpuan melaksanakan program, projek yang berbentuk pembangunan fizikal semata-mata seperti Jalan Luar Bandar (JALB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB),malahan terdapat juga program khusus bagi membantu penduduk luar bandar dalam kategori miskin, miskin tegar dan B40 seperti Program Perumahan Rakyat Termiskin(PPRT),Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK), Program Peningkatan Pendapatan (PPP) serta program-program keusahawanan di bawah agensi KPLB seperti KEMAS,MARA dan Lembaga Kemajuan Wilayah.

“Program-program yang dilaksanakan ini membentuk suatu pakej nilai tambah untuk memperkasa dan memberi keupayaan kumpulan sasar membentuk jati diri,menjana pendapatan sendiri selain memiliki kediaman yang selamat dan selesa.

Tambah beliau lagi bagi tujuan penyelenggaraan jalan di Negeri Sembilan,peruntukan juga
boleh dipohon di bawah peruntukan MARRIS (Malaysian Road Information System Online)melalui Jabatan Kerja Raya(JKR) Negeri dan Pejabat Daerah.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Datuk Kesavadas A. Achyuthan Nair yang bertanya agenda pelaksanaan bagi tempoh dua tahun akan datang berhubung penambahbaikan akses jalan perhubungan desa di kawasan kampung di Negeri Sembilan dan strategi bagi mewujudkan kesamarataan taraf hidup ekonomi bagi semua kaum di kawasan luar bandar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat