KOTA KINABALU – Perikatan Nasional (PN) berpotensi menjadi kingmaker dalam pembentukan kerajaan Sabah sekiranya parti itu berjaya meraih jumlah kerusi signifikan pada PRN Sabah ke-17.
Ketua Armada Bersatu, Hilman Idham berkata perkara itu tidak mustahil memandangkan PN menampilkan barisan calon baharu yang lebih segar dan semakin diterima pengundi muda.
Beliau menyatakan demikian dalam episod khas “Jam Kesebelas”, sebuah audio siar politik rentas parti yang menghimpunkan tokoh politik dan akademik sempena PRN Sabah ke-17 di Kota Kinabalu.
“Ini bukan soal tak ada calon. Semua orang tahu kepimpinan Bersatu Sabah keluar dan membuka GRS. Tapi kita tidak mengalah. We start from zero dan bertanding 47 kerusi,” katanya.
Menurutnya, strategi memperkenalkan generasi politik baharu adalah pendekatan jangka panjang PN untuk meraih kepercayaan pengundi.
“Kami yakin proses memperkenalkan lapisan baru ini lebih disenangi anak muda berbanding calon kitar semula.”
Beliau turut memaklumkan bahawa kajian dalaman PN mendapati slogan “Kasih Bagus Sabah” menerima sambutan tinggi dalam kalangan pengundi muda.
Hilman menegaskan PN akan memberi fokus kepada isu-isu rakyat sekiranya diberi mandat menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.
“Paling tidak, calon kami akan mengangkat suara rakyat Sabah. Kalau kami menang jumlah kerusi signifikan, PN boleh jadi kingmaker dan ada kuasa tawar-menawar untuk perubahan lebih tegas,” katanya.
Episod khas “Jam Kesebelas: Ada Apa Dengan PRN Sabah?” turut menampilkan pandangan Prof Madya Dr Syahrudin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang mengupas dinamik politik tempatan menjelang hari pengundian pada 29 November ini.



