Pemerkasaan aset bomba, kerajaan pertimbang luluskan RP3 2023

- Advertisement -

PULAU PINANG – Pelbagai usaha telah diambil bagi memenuhi komitmen perkhidmatan terhadap Keluarga Malaysia terutamanya daripada aspek pembangunan infrastruktur kebombaan dan modal insan.

Bersempena majlis sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mengambil kira faktor pemerkasaan dan pemodenan aset kebombaan, kerajaan dalam proses pertimbangan bagi kelulusan permohonan Rolling Plan Ketiga (RP3) 2023.

“Dari aspek kebajikan, kerajaan telah meluluskan permohonan pemanjangan bayaran Elaun Kemahiran Khas kepada pegawai yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM).

“Walaupun pada peringkat awal kita menerima permohonan dengan kadar RM300 bagi dua insentif untuk jurulatih dan tenaga pengajar, saya berpandangan kadar itu tidak sesuai dan saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah jumlah elaun-elaun jurulatih dan tenaga pengajar,” katanya di Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 hari ini.

Tambahnya dalam mendepani cabaran masa kini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia perlu berusaha meningkatkan kecekapan dan profesionalisme menerusi program-program strategik disusuli pelan tindakan.

“Menyedari cabaran yang dihadapi itu, KPKT dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah bergerak secara proaktif dengan menggubal Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021-2030.

“Dasar ini diyakini dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang berdaya tahan (resilient community) serta mampu mengadaptasi konsep penyelamat nyawa rakyat (citizen life saver) dalam kehidupan seharian terutama ketika berdepan sebarang situasi kecemasan atau bencana,” katanya.

Sebelum ini Kerajaan telah meluluskan peruntukan pembangunan (DE) Rolling Plan Kedua (RP2) 2022 sebanyak RM132.4 juta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi menambah baik kesiapsiagaan dan kebajikan anggota.

Ini meliputi jentera bomba, kenderaan utiliti, kenderaan forensik kebakaran, Personal Protective Equipment (PPE) serta sistem perisian pemantauan kebombaan yang bertujuan mempertingkatkan keberkesanan jabatan dalam menangani kes kecemasan.

Majlis perasmian Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 (SHAB 2022) diadakan di Perkarangan Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ketua Setiausaha KPKT , Datuk M Noor Azman Taib, dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Sri Ts. Mohammad Hamdan Haji Wahid.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut melancarkan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN 2021-2030) yang dibangunkan selari dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,480FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat