Deklarasi G70: Tipu gelaran, terdesak nak sokong Anwar jadi PM, kata Ridhuan Tee

- Advertisement -

CYBERJAYA: Pendakwah bebas dan ahli akademik, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah hari ini mempersoalkan tindakan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Deklarasi Profesor Melayu G70’.

Menurut Ridhuan, kumpulan tersebut bukan sahaja didakwa sebagai menipu berhubung gelaran profesor mereka malah dianggap sangat terdesak semata-mata untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Benarkah semua professor? Bolehkah gelaran profesor digunakan setelah bersara? Bukanlah sesuatu menghairankan sebahagian mereka pimpinan (ahli) ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia).

“Tidak terasa malukah mengaku professor walhal ada sebagian bukan profesor mengikut pemakaian harian. Saya begitu teruja dengan Deklarasi Profesor Melayu G70. Pertama, apakah benar mereka semua itu profesor? Yang saya perhati, ada juga bekas profesor pencen, ada bekas profesor madya pencen.

“Perlu diingatkan, apabila seseorang profesor telah bersara, mereka tidak boleh bawa gelaran tersebut, kecuali profesor emeritus. Kasihan sungguh, kononnya ‘profesor’ terdesak ini. Janganlah malukan profesor yang lain dengan membawa gelaran atau label ‘profesor’ tersebut. Takkan tidak ada rasa malu,” tulis Ridhuan di Facebooknya hari ini.

Selain itu, Ridhuan turut mendakwa, salah seorang daripada ‘profesor’ tersebut merupakan mantan pengerusi PKR Perak yang pernah bertanding di beberapa kawasan Parlimen sebagai calon PKR iaitu Dr Muhammad Nor Manuty.

Justeru, katanya, tidak hairanlah sebagai seorang penyokong tegar Anwar, beliau menyokong calon Parlimen Tambun itu sebagai perdana menteri.

“Kenapa terdesak sangat kumpulan yang menggelar diri mereka deklarasi profesor Melayu G70 ini? Sehingga sanggup menipu menggunakan nama profesor untuk mengaburi mata rakyat menjelang PRU-15 semata-mata untuk menyokong Anwar Ibrahim?

“Melihat kepada senarai 70 tersebut, ramai lagi yang boleh dipertikaikan akan gelaran ‘profesor’ yang diperalatkan. Benarlah apa yang dikatakan Machiavelli, matlamat menghalalkan cara.

“Sebahagian puak-puak ini sanggup lakukan apa sahaja cara untuk mencapai matlamat termasuk menipu. Sudah tidak tahukah dosa dan pahala?” soal Ridhuan lagi.

Hari ini, Deklarasi Profesor Melayu G70 menyenaraikan enam resolusi menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan untuk mengundi pada PRU-15, 19 November nanti.

Antara lain, deklarasi itu turut menyatakan bahawa menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

“Setelah membuat pertimbangan sewajarnya terhadap calon-calon Perdana Menteri, kami berpendirian bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu-satunya tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk dengan berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan, serta memulihkan reputasi negara di mata dunia.

“Dan bersama pasukannya dalam Pakatan Harapan pada PRU-15 ini, merupakan pilihan terbaik untuk membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi masa kini kepada kesejahteraan rakyat pada masa hadapan dan dalam masa yang sama menjamin keutuhan agama Islam serta kepentingan Melayu dan peribumi,” deklarasi itu dipetik sebagai berkata.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat