MENGKARAK – Perdana Menteri menyifatkan kaji selidik tinjauan suhu sokongan rakyat kepada parti-parti bertanding sebagai satu propaganda politik dan perang psikologi semata-mata.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuan pengkaji-pengkaji bebas membuat kajian sedemikian adalah cubaan pembangkang menarik golongan atas pagar yang belum membuat keputusan agar menyokong parti mereka.
“Bagi saya itu propaganda, kalau kita lihat Merdeka Centre kita tahu ke arah mana dia, jadi setiap parti engage dengan syarikat yang membuat survey kalau dia dibayar oleh parti yang berkaitan maka laporan lebih kepada parti (yang membayar).
“Jangan kita terpengaruh, ini merupakan perang psikologi daripada parti pembangkang iaitu menarik golongan atas pagar yang belum buat keputusan.
“Apabila tengok mereka menang maka sokongan berpindah kepada mereka,” kata Ismail Sabri ketika sidang media di Mengkarak Stesen pada Rabu.
Perdana Menteri mengingatkan agar orang ramai tidak muda diperdaya dengan dakyah tinjauan yang dibuat itu.
“Jangan tertipu dengan dakyah seperti itu.
“Kalau kita bersama BN kita bagi penjelasan yang baik kepada pengundi. Survery tak akan mempengaruhi pemikiran,” jelasnya.
Baru-baru ini, beberapa pihak dan badan bebas memaklumkan kaji selidik yang dijalankan menunjukkan Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam PRU15.
Pihak yang menjalankan kajian antaranya Invoke Malaysia yang mendakwa pembangkang mampu menawan lima negeri iaitu Kelantan, Selangor, Kedah dan Perak serta Johor.