Status OKU beri kelebihan serlah bakat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiap kekurangan bukan penghalang buat dua bintang Orang Kelainan Upaya (OKU), Dinie Rashid dan Asif Suhaimi mencipta fenomena hingga bakat jadi sanjungan peminat.

Ini terbukti apabila penyanyi cacat penglihatan, Dinie dan remaja kelainan upaya, autisme, Asif Suhaimi menjadi bintang ciptaan baru yang diangkat peminat menerusi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), Sabtu lalu.

Dinie merangkul kemenangan menerusi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, manakala Asif pula diangkat sebagai Artis Komedi Popular ABPBH 34.

Dikategorikan OKU berikutan mengalami ‘molecular dystrophy’ hingga mengakibatkan saraf pada bahagian mata rosak, Dinie berkata, dia terharu apabila kekurangannya diterima dengan baik.

“Saya terharu diterima baik dalam industri hiburan, meskipun banyak kekurangan.

“Ini penghargaan pertama, jadi menjadi tanggungjawab untuk menunjukkan bakat saya bukanlah untuk meraih simpati.

“Saya harus menunjukkan prestasi yang terbaik untuk membuktikan kelebihan saya, insya-Allah,” katanya kepada BH Online.

Dinie percaya, setiap kekurangan yang ada mampu memberi kelainan bagi menyerlahkan kelebihan sebagai penyanyi.

Mengulas penerimaan trofi pertama pada usia 29 tahun, Dinie mengakui, ia adalah kejutan besar, namun, menyifatkan sebagai rezeki.

“Saya pun terkejut menerima trofi Artis Baharu Lelaki Popular pada usia 29 tahun, tetapi rezeki sudah ditetapkan.

“Jadi, tidak mengapalah. Mungkin rezeki saya agak lambat, tetapi tetap menerima dengan rasa bersyukur,” katanya.

 

Dikategorikan OKU berikutan mengalami 'molecular dystrophy' hingga mengakibatkan saraf pada bahagian mata rosak, Dinie terharu kekurangannya diterima dengan baik. - Foto NSTP
Dikategorikan OKU berikutan mengalami ‘molecular dystrophy’ hingga mengakibatkan saraf pada bahagian mata rosak, Dinie terharu kekurangannya diterima dengan baik. – Foto NSTP

 

Turut terkejut mampu mengalahkan pelakon dan penyanyi yang bersinar, Meerqeen, Dinie berkata, dia tidak menyangka mengalahkan pesaing yang jauh lebih popular.

“Bukan sahaja Meerqeen, calon lain juga lebih hebat dan popular daripada saya.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh menolak rezeki ini, ia adalah pemberian Allah buat saya,” katanya.

Selain Meerqeen, Dinie turut menewaskan barisan calon hebat lain iaitu Aliff Iskandar, Fadh Majid dan Nadhir Nasar.

Sementara itu, Asif yang dikenali menerusi drama pendek dalam YouTube dan filem Mael Totey The Movie arahan Syahmi Sazli menewaskan artis nama besar seperti Jep Sepahtu, Shuib Sepahtu, Atu Zero dan Ain Edruce.

Berkongsi mengenai perasaannya, Asif menjawab ringkas, dia gembira atas penghargaan ini.

“Saya bersyukur apabila kekurangan tidak menjadi penghalang peminat menghargai bakat.

“Saya rasa amat bertenaga. Dalam masa yang sama, saya bersyukur atas peluang pemberian Allah ini.

“Jujurnya, saya berdebar untuk hadir malam kemuncak ABPBH 34, tetapi saya hadir dengan perasaan teruja,” katanya yang ditemani Syahmi.

 

Syahmi berpendapat lawak diberikan oleh sepupunya, Asif adalah lawak asli, bukan buat-buat. - Foto NSTP
Syahmi berpendapat lawak diberikan oleh sepupunya, Asif adalah lawak asli, bukan buat-buat. – Foto NSTP

 

Mengulas kejayaan sepupunya, Syahmi mengakui, dia berbangga atas kejayaan Asif.

“Jika lihat calon-calon lain, sukar menjangkakan Asif menang. Tetapi, rezeki berpihak pada Asif.

“Saya merasakan ini bukanlah penangan Mael Totey The Movie sahaja, tetapi filem Syif Malam Raya yang memberikan impak besar pada kami.

“Jujurnya, lawak diberikan oleh Asif dan Yoe Parey adalah lawak asli, bukan buat-buat.

“Itu yang penonton mahukan. Mungkin kemenangan ini bermakna orang ramai mahu melihat Asif sebagai pelawak baru.

“Saya rasa ini adalah sejarah baharu dalam ABPBH 34 apabila OKU menerima trofi,” katanya.

Berkongsi projek terbaharu, Syahmi akan mengarahkan dua filem menampilkan Asif dan Yoe sebagai watak utama.

“Insya-Allah, ada dua filem untuk dihasilkan, hujung tahun ini.

“Jika tiada aral melintang, kami akan memulakan penggambaran, tidak lama lagi.

“Dua filem arahan saya, di mana saya mahu mengetengahkan Asif sebagai pelakon utama,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat