Kanak-Kanak Perempuan Maut Jatuh Tingkat 29 Kondominium

- Advertisement -

PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditinggalkan bapanya bersendirian di rumah ditemukan maut terjatuh dari tingkat 29 ke tingkat 8 di sebuah kondominium Jalan Ipoh dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.41 petang itu, pihak polis telah menerima maklumat daripada Mers 999 berkenaan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan di rumah oleh bapanya dalam keadaan pintu berkunci kerana telah keluar untuk membeli barang.

Kata beliau, apabila bapa mangsa pulang ke rumah mendapati anaknya telah tiada.

“Bapa kemudiannya telah meminta bantuan dari pihak pengurusan untuk mencari mangsa.

“Mangsa bagaimanapun telah ditemukan oleh salah seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor tingkat 8 dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Eng Lai, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tingkap di bilik mangsa dalam keadaan terbuka dan terdapat satu kerusi berada di tepi tingkap bilik tersebut.

Ujar beliau, bapa mangsa mengesyaki anaknya telah terjatuh dari tingkap rumah mereka.

“Tingkap di dalam bilik tersebut juga tidak mempunyai jeriji dan hasil siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemukan dalam insiden ini.

“Pihak Pengurusan telah menghubungi ambulans dari Hospital Selayang dan kematian mangsa telah disahkan oleh pegawai paramedik yang berada di tempat kejadian,” jelasnya.

Tambah beliau, mayat mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Polis Sentul menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206,” katanya. – Utusan

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat