‘Benar, Menteri Pendidikan tak berada di setiap sekolah pantau pelajar tapi beliau bertanggungjawab baiki sistem’ -Umno JB

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan adalah penjaga kepada masa depan generasi muda, maka, setiap dasar, prosedur standard operasi (SOP) dan tindakan mesti berpaksikan keselamatan, disiplin dan kesejahteraan pelajar.

Tragedi di sekolah bukan isu terpencil. Ia adalah amaran bahawa sistem perlu diperbaiki segera, tegas Ketua Penerangan Umno Bahagian Johor Bahru.

Menurut Ahmad Solehin Abd Ghani, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak boleh lepas tangan, sebaliknya mesti bertindak pantas dan tegas untuk memastikan sekolah kembali menjadi tempat paling selamat bagi anak-anak kita.

“Kenyataan Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli bahawa tidak adil untuk menyalahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek terhadap kejadian tragik yang berlaku di premis sekolah, termasuk kes bunuh baru-baru ini, adalah tidak tepat dan seolah-olah cuba mengalihkan tanggungjawab moral serta pentadbiran kementerian.

“Dasar dan SOP di bawah tanggungjawab Menteri – Memang benar, seorang Menteri tidak berada di setiap sekolah untuk memantau pelajar secara langsung. Namun, tanggungjawab utama seorang Menteri adalah memastikan sistem pendidikan negara dilindungi oleh dasar, garis panduan dan SOP yang mantap bagi mencegah kejadian seumpama itu.

“Apabila berlaku insiden tragik di bawah bidang kuasa kementerian, persoalan asasnya ialah – adakah sistem sedia ada cukup kuat untuk mencegahnya? Jika tidak, maka tanggungjawab itu berpunca daripada kelemahan dasar dan pelaksanaan di bawah kementerian sendiri,” tegas beliau.

Katanya, KPM mesti memimpin reformasi keselamatan sekolah.

“Menteri bukan sekadar pembuat dasar di atas kertas. Beliau mesti memastikan pelaksana di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru besar dan pengetua benar-benar melaksanakan pengawasan serta pemantauan keselamatan pelajar dengan berkesan.

“Kejadian buli, rogol, mahupun pembunuhan di kawasan sekolah jelas menunjukkan wujud kelemahan sistemik. Ia perlu ditangani melalui reformasi menyeluruh terhadap dasar keselamatan, pendidikan moral, dan pemantapan aspek psikologi pelajar.

“Tanggungjawab moral dan politik tidak boleh dialihkan -dalam sistem demokrasi, seorang Menteri bukan hanya bertanggungjawab mentadbir, tetapi juga menanggung amanah dan akauntabiliti terhadap sebarang kegagalan sistem di bawah kementeriannya.

“Menyalahkan guru, sekolah atau masyarakat tanpa menilai keberkesanan dasar kementerian adalah satu bentuk pengabaian tanggungjawab politik dan moral. Menteri tidak boleh sekadar menjadi pemerhati; beliau mesti menjadi peneraju reformasi,” tegur beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat