KUALA LUMPUR – Bukit Aman mengesahkan penahanan editor buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’, Kean Wong, yang gambar kulit buku terbabit didakwa menghina Jata Negara, hari ini.
Difahamkan, lelaki itu ditahan di Pejabat Imigresen Kelana Jaya ketika memohon pembaharuan pasport.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa, ketika dihubungi BH, hari ini mengesahkan penahanan Kean Wong.
“Betul, dia ditahan. Siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman,” katanya.
Sebaik ditahan, Kean Wong dilaporkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Akta Hasutan 1948.
Difahamkan, pihak Bukit Aman akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung penahanan Kean Wong dalam masa terdekat.
Pada 10 Julai 2020, Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata polis sedang mengesan Kean Wong bagi membantu siasatan berhubung kontroversi kulit buku berkenaan.
Menurutnya, siasatan berhubung penerbitan buku itu dimulakan sejak 29 Jun 2020 susulan beberapa laporan polis diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negara.
Polis turut merakam keterangan beberapa individu termasuk pelukis, penerbit dan pencetak buku berkenaan.
Ketika siasatan dijalankan, Kean Wong dilaporkan berada di Australia dan polis memaklumkan dia memegang status Pemastautin Tetap (PR) Australia sejak lebih 10 tahun lalu.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – HMetro