Filem Gayong, yang bakal diarahkan oleh Faisal Ishak sebuah naskhah epik aksi yang mengangkat seni mempertahankan diri tempatan ke layar perak. Filem Gayong, arahan Faisal Ishak, mengetengahkan kisah pengasas Silat Seni Gayong, Datuk Meor Abdul Rahman, dengan Beto Kusyairy dipilih untuk melakonkan watak tokoh ikonik tersebut.
Pelakon versatil ini menerima cabaran besar apabila ditugaskan membawakan watak pengasas silat yang dihormati ramai. Menurut Beto, watak Datuk Meor bukan sekadar memerlukan latihan fizikal yang intensif, tetapi juga menuntut kajian mendalam tentang karakter, semangat, dan perjuangan tokoh tersebut. “Untuk watak ini, saya bukan sahaja perlu mendapatkan bentuk fizikal yang sesuai, tetapi juga memahami falsafah dan disiplin Silat Gayong itu sendiri,” kata Beto yang akan menjalani rejim diet ketat dan rutin senaman harian bagi mendapatkan fizikal tegap seperti Datuk Meor.
Watak ini memerlukan Beto untuk mencerminkan kekuatan fizikal dan mental seorang guru silat, selain menelusuri perjalanan hidup seorang pejuang seni bela diri yang memartabatkan warisan bangsa.
Beto turut mengakui bahawa tanggungjawab membawakan watak Datuk Meor amat besar kerana beliau adalah sosok yang membawa legasi yang terus hidup hingga ke hari ini. “Sebagai seseorang yang juga pernah mendalami silat sejak kecil, watak ini memang cukup dekat dengan saya. Malah, sahabat-sahabat silat saya juga ramai yang terlibat dalam dunia Silat Gayong,” tambahnya lagi.
Filem Gayong yang diterbitkan oleh SOL Pictures Sdn Bhd, bukan sekadar sebuah filem aksi biasa. Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, menjelaskan bahawa tujuan pembikinan filem ini adalah untuk mengabadikan warisan dan perjuangan Datuk Meor yang selama ini menjadi ikon silat tempatan. “Kami mahu orang ramai mengenali siapa Datuk Meor Abdul Rahman, seperti mana orang mengenali IP Man dari Hong Kong. Sudah tiba masanya tokoh tempatan seperti beliau diangkat di layar perak,” ujarnya.
Bagi Nabila Huda, yang membawakan watak isteri kepada Datuk Meor, cabaran utama adalah untuk memahami watak wanita yang kuat, yang sentiasa di sisi suaminya sepanjang perjalanan hidupnya sebagai seorang guru silat. “Saya banyak membaca biografi Datuk Meor untuk memahami peranan isteri beliau, seorang wanita yang tidak pernah meninggalkan suaminya, walau apa pun cabaran yang dihadapinya,” kata Nabila.
Filem ini turut menampilkan barisan pelakon aksi antarabangsa seperti Yayan Ruhian dari Indonesia dan Chevanon Phukaokaew dari Thailand, yang akan membawa elemen seni bela diri serantau ke dalam filem ini. Dengan kombinasi pelakon tempatan dan antarabangsa, Gayong dijangka mampu memecah dominasi filem aksi luar negara dan meletakkan seni silat Malaysia di peta perfileman global.
Proses penggambaran dijadualkan bermula pada Oktober ini di beberapa lokasi sekitar Semenanjung Malaysia, termasuk Sedili, Desaru, dan Tanjong Karang. Filem ini dijangka ditayangkan pada Mei 2025, dan dijangka menjadi naskhah penting yang bukan sahaja memaparkan aksi pertarungan, tetapi juga kisah perjuangan seorang tokoh yang mewariskan seni silat kepada generasi kini dan akan datang.
Pastinya filem Gayong akan membawa satu dimensi baru dalam dunia perfileman aksi tempatan, di samping menjadi penghargaan kepada warisan seni silat Melayu yang semakin jarang diketengahkan.