KLUANG – Blok pembangkang mendakwa kesepakatan Perikatan Nasional (PN) menolak draf cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada wakil rakyat kerana dianggap tidak memberikan keuntungan kepada rakyat dan negara.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tindakan pembangkang menolak tawaran MoU sebagai isyarat tegas kepada Kerajaan Perpaduan.
“Ahli-ahli Parlimen PN buat keputusan tolak MoU, ini kenyataan yang sangat jelas daripada Datuk Seri Hamzah Zainudin mewakili ahli-ahli Parlimen PN.
“Bahawa kita menolak tawaran yang diberikan kalau sekiranya tawaran itu tidak berikan keuntungan kepada rakyat, tidak berikan keuntungan kepada negara.
“Ini ketegasan yang ditunjukkan (pembangkang),” tegas Ahmad ketika berucap di ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dorset, malam tadi.
Justeru, beliau yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) menyeru pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota perlu memberi isyarat sama kepada kerajaan.
“Buat apa ketegasan ini? Untuk beri isyarat. Demikian juga ketegasan pengundi di DUN ini juga untuk beri isyarat.
“Undi PN beri isyarat kepada kerajaan bahawa kami (pengundi) tak boleh terima kenaikan harga minyak, tak boleh terima kehidupan hari ini yang berdepan kos sara hidup yang tinggi.
“Bahkan masalah dihadapi oleh rakyat tidak diatasi sebaik mungkin. Maka isyarat itu mesti diberi oleh pengundi di DUN Mahkota.
“Sebab itu saya bersetuju bahawa peluang yang diberi kepada pengundi di DUN Mahkota untuk beri isyarat kepada Umno, kepada kerajaan peringkat Persekutuan, isyaratnya ialah dengan beri undi kepada PN,” gesa Ahmad.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa Umno yang dahulunya menjadi tunjang politik Melayu dan Islam kini hanya melukut di tepi gantang DAP.
Sebaliknya kata Ahmad, PN kini adalah teras politik Melayu dan Islam.
Kata beliau lagi, meskipun kemenangan PN di PRK DUN Mahkota tidak memberi kesan kepada Dewan Undangan Negeri Johor mahupun peringkat Persekutuan namun ini adalah suara dan isyarat kepada Pakatan Harapan (PH) yang memerintah di Pusat.
“Isyarat dari Mahkota adalah tidak menerima dasar-dasar yang sedang dilaksana dalam negara kerana dianggap tidak menyelesaikan masalah,” dakwa Ahmad.
Kelmarin, PN membuat ketetapan sebulat suara menolak MoU mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penolakan itu dilakukan kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa dan mengokong kebebasan.