KUALA LUMPUR -Semua perkhidmatan agensi kerajaan yang berada di luar negara akan diletakkan di bawah satu bumbung bermula 1 Januari ini, sekali gus mampu menjimatkan wang kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia termasuk pejabat di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
“MOTAC, MATRADE, MITI dan selain Kedutaan semuanya mempunyai pejabat masing-masing. Jadi, bermula 1 Januari 2025, semua pejabat di luar negara akan disatukan bawah satu bumbung bagi menjimatkan belanja dan mengoptimumkan operasi.
“Dunia masih kecil, ekonomi dan teknologi kian canggih tetapi cara kita berfikir dan bertindak masih usang, sebab itu saudara semua kena kerjasama.
“Menteri dan kementerian kena terima kenyataan bahawa kerja ini boleh dijalankan kerja secara optimum melalui proses lebih teratur,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Jumaat.