KUALA LUMPUR – Ketua Puteri Umno, Datuk Nurul Amal Fauzi membidas “kenyataan liar” seorang pemimpin parti itu yang cuba meletakkan tanggungjawab prestasi buruk Umno dalam PRN baru-baru ini atas bahu sayap parti, yang didakwa gagal menarik pengundi muda.
“Semua kena ambil tanggungjawab sebab kekalahan PRN kali ni bukan kita lari dari orang muda, tetapi pelbagai faktor,” kata Nurul Amal merujuk kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Terdahulu, Nur Jazlan mengaitkan prestasi buruk Umno pada PRN Sabtu lalu disebabkan kegagalan jentera penerangan parti bertemu akar umbi, selain sayap muda gagal menarik sokongan anak muda.
“Apa yang ketua-ketua sayap parti buat selama ini untuk menarik orang muda agar menyokong Umno? Kalau setakat cakap-cakap saja, orang lain pun boleh buat kerja itu,” tempelak Nur Jazlan dalam kenyataan, semalam.
Membidas kenyataan Nur Jazlan itu, Nurul Aaml berkata jentera sayap Puteri tanpa lelah menggempur segenap kawasan di enam negeri PRN, malah giat bertemu akar umbi dan pengundi atas pagar menjelaskan kerjasama Umno dan DAP, yang menjadi “tajuk utama” perdebatan di peringkat bawah.
Beliau berkata jarak masa antara PRU15 dan PRN yang begitu hampir gagal menyekat sentimen dimainkan Perikatan Nasional (PN), apabila bahan kempen PRU November lalu dikitar semula kali ini.
“Dalam tempoh itu, semua parti menyerang Umno…(PRU15) tiada satu parti pun yang berhenti menyerang Umno, tidak kiralah parti mana, DAP, PKR, Bersatu, PAS semua hentam Umno, mereka tak serang parti lain.
“Bila benteng pertahanan Umno kena serang, kita penat juga,” katanya yang berpendapat sukar untuk PH-BN memperbetulkan perkara itu dalam tempoh hanya lapan bulan bersama.
Beliau menegaskan Umno sedang berdepan “badai dan gelora”, semua pihak tidak seharusnya menuding jari kepada mana-mana individu, sebaliknya bersatu mengukuhkan semula parti.
“Saya gembira ramai yang sayangkan Umno tetapi dalam kita menghadapi kekalahan atau masalah kita tak boleh menuding jari pada sesiapa.
“Apa yang penting kita rapatkan balik (saf) perbaiki sedikit demi sedikit, kuatkan balik parti dari akar,” lapor FMT pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh, meminta Nur Jazlan hadir ke mesyuarat “bedah siasat” parti diadakan esok untuk mengetahui gerak kerja sayap tersebut sepanjang PRN.
“Kadang-kadang bila kita bercakap kita tak sedar yang kita tidak berpijak di bumi nyata dan itulah salah satu punca kekalahan.
“Bila ada orang yang menyatakan kerisauan dan suara akar umbi, dianggap orang itu musuh sebab tidak sehaluan. Jangan berfantasi kita kena hadapi realiti,” bidas Akmal yang juga Exco kerajaan Melaka.