KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan, tindakan Bersatu bukan mufaraqah tetapi tindakan yang perlu dibuat selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Pas berulang kali mengabai dan mengkhianati jemaah.
Menurut Tun Faisal, Bersatu masih anggota PN, justeru tidak timbul soal mufaraqah.
Jelas beliau, tindakan Bersatu menggunakan logo sendiri kerana selepas menjadi Pengerusi PN, Pas selaku ‘imam’ tidak melaksanakan urusan jemaah dengan betul dan berulang kali mengabaikan jemaah.
“Adakah Pas hendak mengatakan tindakan yang mereka lakukan ini adalah berlandaskan ajaran Islam? soal beliau.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, perlu diingatkan Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa bahawa Pas yang memutuskan hubungan dengan Bersatu, bukan Bersatu yang memutuskan hubungan dengan Pas. Ini dilakukan ketika PN mahu berhadapan dengan PRN Johor. Apakah tujuannya?
“Bukan setakat itu, mesyuarat persiapan pilihan raya dan rundingan kerusi dilengah-lengahkan. Tiada mesyuarat persiapan pilihan raya dipanggil untuk PRN Negeri Sembilan.
“Pada 12 Julai 2026, baru ada mesyuarat rundingan kerusi yang pertama, iaitu 6 hari sebelum tarikh penamaan calon. Dalam mesyuarat itu, Pas mengaku membuat rundingan kerjasama dengan Umno tanpa pengetahuan Majlis Tertinggi PN dan parti-parti anggota PN. Mesyuarat rundingan kerusi ini tidak dapat dimuktamadkan kerana perkara ini adalah perkara baru yang perlu dibawa ke pengetahuan parti masing-masing.
“Manakala pada 13 Julai 2026, mesyuarat rundingan kerusi yang kedua dibatalkan atas alasan surat aduan mengenai status korum ROS, sedangkan tiada sebarang pemberitahuan dan keputusan daripada ROS bahawa Bersatu telah dibubarkan. Rundingan kerusi dibatalkan oleh Pas semata-mata bersandarkan andaian dan tafsiran Pas, atas perkara yang tidak relevan dengan keabsahan Bersatu sebagai pertubuhan. Bersatu tidak terbubar hanya semata-mata kerana soal korum, lebih-lebih lagi berdasarkan Perlembagaan Bersatu, korum adalah berdasarkan jumlah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) terkini dan bukan jumlah keanggotan asal MPT selepas pemilihan parti. Seolah-olah Pas sengaja menjadikan soal korum ini sebagai alasan untuk mengenepikan Bersatu dalam mesyuarat rundingan kerusi seterusnya.
“Pada 14 dan 15 Julai 2026, masih tiada respon dan jawapan daripada Pas mengenai rundingan kerusi melibatkan Bersatu. Sampai saat akhir, Pas terus membisu dan Pengerusi PN langsung tidak mengambil sebarang tindakan membetulkan keadaan.
“15 Julai 2026, tiada jemputan kepada Bersatu dalam mesyuarat rundingan kerusi. Di sebelah petang, ada maklumat menyatakan bahawa Pas telah bertemu Umno dan rundingan kerusi telah dimuktamadkan antara Pas dengan Umno tanpa memaklumkan perkara ini kepada Majlis Tertinggi PN.
“16 Julai 2026 baru Pas hendak memanggil Mesyuarat Khas MT PN? Ada yang tertanya-tanya masa bila Pas mengeluarkan surat panggilan Mesyuarat Khas MT PN? Adakah selepas rundingan dengan Umno selesai? Kenapa Pas selaku Pengerusi PN telah mengenepikan Bersatu dan anggota PN yang lain dalam rundingan dan melewat-lewatkan mesyuarat hingga ke saat akhir? Apakah tujuannya? Adakah tindakan Pas ini bertujuan untuk menyulitkan persiapan parti-parti komponen PN yang lain, khususnya Bersatu? soal Tun Faisal.
Tambah beliau lagi, selepas kempen songsang bertanding dalam PRN Johor untuk kalah dan menangkan BN, ditambah dengan tindakan Pas yang sengaja melengah-lengahkan mesyuarat persiapan pilihan raya dan rundingan kerusi PRN Negeri Sembilan, Bersatu perlu membuat keputusan mengenai penyertaannya dalam PRN Negeri Sembilan.



