4 Senator PPBM Angkat Sumpah Isnin Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Empat ahli Dewan Negara yang telah tamat tempoh fasa pertama akan melanjutkan perkhidmatan sebagai Senator dan mengangkat sumpah di Dewan Negara, Blok Utama Parlimen, Isnin ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, ahli Dewan Negara itu ialah Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, Datuk John Ambrose, Datuk Bobbey Ahfang Suan dan seorang lagi ahli yang belum dikenal pasti yang semuanya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Setakat ini hanya tiga orang ahli Dewan Negara yang diterima untuk dilanjutkan tempoh perkhidmatan dan seorang belum dipastikan.

“Bagi ahli Dewan Negara lain yang habis tempoh bulan ini dan seterusnya, maka ia tamat di situ sahaja kecuali Yang di-Pertuan Agong atau Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat pencalonan baharu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan beberapa ahli Dewan Negara yang menamatkan perkhidmatan berkuatkuasa hari ini sebelum Parlimen sempat bersidang.

John Ambrose mula dilantik pada 16 Januari 2018 sehingga 15 Januari 2021 dan lantikan semula pada 16 Januari hingga 15 Januari 2024. Mohd. Radzi pula dilantik pada 17 Julai 2018 sehingga hari ini dan lantikan semula berkuatkuasa esok sehingga 16 Julai 2024. Kedua-dua mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong..

Bobbey Ahfang satu-satunya ahli Dewan Negara baharu dipilih oleh DUN Sabah dan lantikannya dijadualkan bermula 5 Januari 2021 sehingga 4 Januari 2024, namun tidak dapat dijalankan akibat penggantungan Parlimen.

Mesyuarat khas Dewan Rakyat dijadual 26 Julai ini manakala sidang Dewan Rakyat bagi penggal keempat Parlimen ke-14 dijadual berlangsung selama 15 hari bermula 6 September, namun setakat semalam belum ada tarikh bagi sidang Dewan Negara.

.Sementara itu, Ahli Dewan Negara dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Senator Datuk Marzuki Yahya berkata, terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong dan DUN memutuskan sama ada mahu melanjutkan tempoh perkhidmatan Senator di Dewan Negara.

Kedua-dua pihak berhak juga membuat pemilihan dan pelantikan baharu jika perkhidmatan ahli Dewan Negara yang kini tamat tempoh tidak lagi diperlukan untuk penggal seterusnya

“Dengan amanah dan kepercayaan yang diberikan, saya sudah menjalankan tugas sebaik mungkin. Saya tidak tahu jika ada lagi lanjutan lantikan selepas ini atau terus kepada lantikan baharu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Marzuki, Senator Datuk Ismail Ibrahim (UMNO); Senator P. Waytha Moorthy (Malaysian Advancement Party); Senator Liew Chin Tong (DAP) dan Senator Datuk Husain Awang (Pas) tamat tempoh perkhidmatan berkuatkuasa hari ini sejak dilantik pada 2018.

Sementara itu, Waytha Moorthy berkata, sekali pun Parlimen akan bersidang pada 6 September ini, masih belum disahkan sama ada Dewan Negara akan bersidang sama seperti Dewan Rakyat.

“Ya, pasti hari ini perkhidmatan saya tamat. Berkenaan ahli Dewan Negara yang tidak sempat bersidang sebelum sidang Parlimen nanti, saya tiada komen. Pun begitu, Dewan Negara belum sah akan bersidang,” katanya.

Ismail Ibrahim pula bertuah kerana dapat merasa pengalaman berkhidmat sebagai ahli Dewan Negara di pihak kerajaan dan pembangkang.

Katanya, ini kerana dia dilantik sejak BN menjadi pembangkang selepas tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kemudian Pakatan Harapan (PH) mentadbir dan seterusnya Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat