Harapan tetamu Allah

- Advertisement -

Ibadah haji adalah satu daripada Rukun Islam. Allah SWT menyatakan perihal kewajipan menunaikan ibadah haji menerusi firman-Nya yang bermaksud:  “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadat haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu) daripada sekalian makhluk.”  (Surah Ali ‘Imran, ayat 97)

Pada ketika ini, umat Islam terpilih sebagai Duyufurrahman (tetamu Allah) sedang berada di Tanah Suci termasuk yang masih dalam perjalanan ke sana bagi menunaikan ibadah haji. Mereka mengunjungi Baitullah semata-mata untuk mendapat keampunan dan keredaan Allah SWT. Meskipun proses menunaikan ibadah haji memerlukan wang yang banyak, namun apa yang dicari melebihi nilai dunia dan seisinya.

Bagi jemaah haji dari Malaysia, seramai 284 orang kumpulan pertama jemaah haji bagi Musim Haji 1444H/2023M telah berlepas ke Tanah Suci pada 21 Mei lalu. Seramai 31,600 jemaah haji dari Malaysia terpilih sebagai Duyufurrahman pada tahun ini dan mereka akan berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat. Inilah antara nikmat besar kurniaan Allah SWT iaitu dipilih sebagai tetamu untuk menunaikan ibadah fardu haji.

Usaha para jemaah haji adalah sekelumit pengorbanan yang perlu dilaksanakan dengan niat yang ikhlas untuk mendapat keredaan-Nya. Sesungguhnya rezeki yang dikurniakan Allah SWT, sebahagiannya mesti diinfakkan dalam usaha menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Allah SWT menetapkan bahawa dalam usaha melaksanakan perintah daripada-Nya, perlu ada pengorbanan termasuk dari segi masa dan wang.

Kewajipan menunaikan ibadah haji tertanggung di atas bahu setiap individu Muslim yang berkemampuan. Allah SWT berfirman yang maksudnya:  “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”  (Surah al-Baqarah, ayat 196)

Ayat berkenaan secara jelas menunjukkan bahawa ibadah haji wajib ditunaikan semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT. Dalam melaksanakan perintah Allah ini, setiap halangan perlu ditangani dengan penuh sabar dan mengharapkan pertolongan-Nya. Beruntunglah bagi mereka yang berjaya mendepani setiap halangan dan dapat menunaikan ibadah haji dengan cara yang terbaik.

Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT ketika menjelaskan perihal tetamu-Nya yang datang dari setiap pelosok dunia bagi menunaikan ibadah haji. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:  “Dan serukanlah umat manusia untuk menunaikan ibadah  haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Allah) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, mereka datang dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”  (Surah al-Hajj, ayat 27)

Setiap ibadah yang dilakukan sepanjang musim haji mempunyai erti dan pengajaran tersendiri. Pemakaian ihram dan ibadah tawaf, contohnya, memberi gambaran bahawa setiap manusia itu semuanya sama taraf di sisi Allah SWT. Hanya takwa yang dicerminkan melalui mutu ibadah masing-masing dapat membezakan darjat antara satu dengan yang lain.

Larangan dalam ihram juga sarat dengan hikmah yang menuntut kesabaran dan ketelitian dalam melaksanakan ibadah. Hal ini secara jelas memberi pengertian bahawa setiap ibadah yang diwajibkan ke atas umat Islam perlu ditunaikan dengan penuh teliti dan bukan sekadar acuh tak acuh sahaja.

Wukuf di Arafah pula memberi gambaran suasana Mahsyar yang bakal dilalui oleh setiap manusia. Suasana ini bukan sahaja perlu dirasai oleh jemaah haji, namun bagi mereka yang mampu menyaksikan suasana ini dari tanah air masing-masing, rasa keinsafan juga pastinya dirasai. Pada saat setiap manusia berkumpul di satu kawasan yang luas terbentang, masing-masing menadah tangan memohon doa ke hadrat Ilahi. Sesungguhnya, manusia hanya insan kerdil yang sentiasa mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:  “Kemudian apabila kamu bertolak dari Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah dengan doa talbiah dan tasbih) di tempat Mash’aril Haram (di Muzdalifah) dan ingatlah kepada Allah dengan menyebut-Nya sebagaimana Dia telah memberikan petunjuk hidayah kepada kamu.”  (Surah al-Baqarah, ayat 198)

Ibadah sai antara bukit Safa dan Marwah pula membawa umat Islam menghayati pengorbanan seorang wanita yang akur dengan perintah Allah SWT. Sifat reda dan tawakal yang ditunjukkan oleh Hajar iaitu isteri Nabi Ibrahim mengajar manusia agar sentiasa meletakkan perintah Allah SWT melebihi segalanya. Dengan kesabaran dan berserah diri pada Allah, maka dibukakan jalan keluar untuknya dalam mengharungi kehidupan tanpa suami.

Inilah antara bukti kekuasaan Allah SWT yang ditunjukkan melalui pensyariatan ibadah haji. Sesungguhnya pertolongan Allah SWT sentiasa memayungi hidup hamba yang taat atas setiap perintah-Nya. Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:  “Sesungguhnya Safa dan Marwah itu sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah, maka sesiapa yang menunaikan ibadah haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersai di antara keduanya.”  (Surah al-Baqarah, ayat158)

Berdasarkan huraian ringkas berkaitan ibadah haji itu, maka sewajarnya setiap individu Muslim berazam untuk menunaikan ibadah haji. Bagi golongan muda, niat harus diletakkan dari awal agar hasrat murni itu dipermudahkan oleh Allah SWT. Niat memainkan peranan penting bagi melaksanakan amal ibadah dalam Islam. Niat yang murni bukan hanya sekadar niat, namun ia disertai dengan usaha dan gerak kerja berstrategi ke arah hasrat yang ingin dicapai.

Marilah sama-sama kita menabung, meletakkan sasaran serta mempersiapkan diri agar usaha murni kita dipermudahkan oleh Allah SWT. Ambillah kesempatan menziarahi para  hujjaj  (jemaah haji) apabila mereka pulang ke tanah air nanti. Pengalaman mereka dalam menunaikan perintah Allah SWT sewajarnya ditimba agar dapat memotivasikan diri untuk melakukan perkara yang sama.

Doakanlah semoga para  hujjaj  dari Malaysia yang kini berada di Tanah Suci dikurnia kesihatan baik, dipermudahkan semua urusan oleh Allah SWT, seterusnya mendapat haji mabrur. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:  “Haji mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga.”  (Hadis Riwayat Ahmad)

Penulis Pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat