Sungai Jernih Jangan Ingat Tiada Buaya

- Advertisement -

JASIN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan Sungai Kesang, yang tular dengan persekitaran tenang dan jernih, sebagai lokasi ‘pesta’ mandi-manda kerana dikhuatiri boleh mengancam nyawa mereka.

Pengarah Perhilitan Melaka Mohd Hasdi Husin berkata ini kerana Sungai Kesang telah diisytiharkan sebagai habitat buaya sejak 2018.

Beliau berkata untuk makluman orang ramai dan berdasarkan pemerhatian Perhilitan, dua hingga tiga ekor buaya tembaga dewasa atau nama saintifiknya Crocodylus Porosus, dipercayai ada di sepanjang Sungai Kesang itu.

“Jangan mandi-manda, kerana dibimbangi akan berlaku kejadian yang tidak diingini akibat menganggu habitat reptilia pemangsa itu. Papan tanda amaran ada buaya juga telah dipasang di lokasi sungai berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan Sungai Kesang di sini, hari ini.

Katanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka telah memaklumkan kepada Perhilitan bahawa Sungai Kesang menjadi jernih kebiruan ketika laut pasang dipercayai disebabkan tiada aktiviti pembukaan tanah dan pertanian di hulu sungai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

Mohd Hasdi berkata Perhilitan tidak akan mengganggu habitat reptilia pemangsa itu kecuali jika ada aduan atau berlaku serangan terhadap orang awam.

Sungai Kesang, yang menjadi ‘garis sempadan’ antara Jasin, Melaka dan Tangkak, Johor, tular di media sosial baru-baru ini berikutan warnanya menjadi jernih kebiruan sehingga menarik pengunjung dari dalam dan luar negeri ini untuk datang ke sungai itu mengambil gambar kenang-kenangan sambil bermanda-manda.

Sementara itu, seorang pengunjung, Roziah Awang, 37, dari Selangor berkata dia teruja dapat melihat sendiri air sungai itu yang tidak pernah dijangka beliau boleh menjadi begitu jernih.

Beliau yang pulang ke kampung halamannya di Chin Chin di sini selepas kerajaan memberi kebenaran merentas negeri, tidak melepaskan peluang ke sungai itu bersama keluarganya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat