Siapa Megat Shahriman hendak bercakap bagi pihak Istana, tanya Pemuda UMNO Negeri Sembilan

SEREMBAN – Krisis politik dan adat di Negeri Sembilan terus memuncak apabila Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan melancarkan serangan terbuka terhadap Datuk Seri Megat D Shahriman dengan mempersoalkan kapasiti beliau bercakap seolah-olah mewakili Istana Seri Menanti.

Dalam kenyataan keras yang dikeluarkan hari ini, Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyifatkan siri kenyataan yang dibuat melalui Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sejak 3 Mei lalu sebagai bermotif politik, emosional dan cuba membina persepsi kononnya UMNO Negeri Sembilan telah “menderhaka” kepada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Menurut mereka, tuduhan sebesar itu tidak boleh dilemparkan sesuka hati tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Istana sendiri.

“Sehingga hari ini tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Istana yang menyatakan UMNO Negeri Sembilan melakukan penderhakaan seperti didakwa.

“Persoalannya, siapa Megat Shahriman dan atas kapasiti apa Sekretariat ini bercakap seolah-olah menjadi jurucakap rasmi kepada DYMM Tuanku?” katanya.

Kenyataan itu dilihat sebagai serangan paling keras setakat ini daripada sayap parti tersebut terhadap kumpulan yang lantang mempertahankan kedudukan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam kemelut politik dan adat yang sedang melanda negeri itu.

Pemuda UMNO Negeri Sembilan turut mendakwa tindakan menggunakan nama DYMM Tuanku secara berterusan dalam kenyataan politik merupakan sesuatu yang membimbangkan kerana ia berpotensi menyeret institusi diraja ke dalam percaturan politik kepartian.

Menurut mereka, Sekretariat Taat Setia bukan sahaja menyerang parti politik tertentu, malah didakwa cuba menghasut rakyat supaya menghukum lawan politik di peti undi atas nama kesetiaan kepada Raja.

“Institusi Diraja mesti dihormati dan dipertahankan daripada sebarang cubaan eksploitasi politik.

“Kesetiaan kepada Raja tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana kelompok, apatah lagi dijadikan alat untuk melabel pihak lain sebagai penderhaka hanya kerana berbeza pandangan politik,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Pemuda UMNO Negeri Sembilan membayangkan wujud cubaan mengalihkan perhatian rakyat daripada persoalan sebenar yang sebelum ini dibangkitkan terhadap pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan berkaitan isu adat dan sensitiviti negeri.

Menurut mereka, beberapa persoalan serius yang dibangkitkan sebelum ini masih gagal dijawab secara tuntas oleh kerajaan negeri.

“Malangnya sehingga hari ini persoalan tersebut tidak dijawab secara menyeluruh. Sebaliknya perhatian rakyat cuba dialihkan dengan permainan sentimen dan tuduhan emosi,” katanya.

Kenyataan itu turut mempersoalkan latar belakang sebenar Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan termasuk sumber kewangan, struktur organisasi dan legitimasi gerakan tersebut.

Pemuda UMNO Negeri Sembilan berkata rakyat berhak mengetahui beberapa perkara asas sekiranya gerakan itu benar-benar ikhlas mempertahankan institusi negeri.

Antara persoalan yang dibangkitkan ialah:

•⁠ ⁠apakah status sebenar sekretariat itu;
•⁠ ⁠siapakah pihak yang membiayai dan menggerakkannya;
•⁠ ⁠sama ada mereka mendapat mandat rasmi daripada pihak Istana untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian; dan
•⁠ ⁠mengapa mereka secara konsisten menyerang parti politik tertentu tetapi gagal menjawab isu pokok yang dibangkitkan.

Menurut Pemuda UMNO Negeri Sembilan, mempertahankan Institusi Diraja bukan bermaksud membenarkan mana-mana pihak mempergunakan nama DYMM Tuanku bagi kepentingan politik sempit.

“Kami akan terus mempertahankan Raja Berperlembagaan, Institusi Adat serta keharmonian negeri ini secara matang, bertanggungjawab dan berlandaskan fakta.

“Bukan dengan budaya tuduh-menuduh serta menghukum sesiapa sahaja yang tidak sehaluan sebagai penderhaka,” katanya.

Kenyataan tersebut hadir ketika suhu politik Negeri Sembilan terus panas susulan pertikaian melibatkan institusi adat, Dewan Keadilan dan Undang serta beberapa kenyataan terbuka yang saling bercanggah antara pihak berkepentingan sejak beberapa minggu lalu.

Pemuda UMNO Negeri Sembilan menegaskan institusi Raja wajib dijunjung tinggi, namun pada masa sama perlu dipelihara daripada diperalatkan oleh mana-mana pihak berkepentingan politik.

“Institusi Raja wajib dijunjung tinggi. Justeru institusi tersebut juga mesti dipelihara daripada diperalatkan oleh mana-mana pihak berkepentingan politik,” katanya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat