BN Johor umum tanding semua 56 kerusi DUN, kuatkan spekulasi PRN Julai ini

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor mengumumkan akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi satu kenyataan hari ini selepas mengambil kira pandangan rakyat serta kepimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri.

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan bersama pucuk pimpinan parti.

“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa Barisan Nasional Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya.

Onn Hafiz berkata, pendirian tersebut merupakan tawaran jelas BN kepada rakyat Johor bahawa gabungan itu bersedia untuk terus membentuk kerajaan negeri yang stabil dan kukuh.

“Bagi UMNO dan Barisan Nasional Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya.

Pengumuman itu sekali gus menguatkan lagi desas-desus bahawa PRN Johor akan diadakan seawal Julai ini, kira-kira setahun lebih awal sebelum tempoh penggal Dewan Undangan Negeri tamat.

Langkah BN Johor membuat pengumuman awal untuk bertanding di semua kerusi juga dilihat sebagai persiapan menghadapi kemungkinan pembubaran DUN dalam masa terdekat.

Kenyataan tersebut turut memberi isyarat bahawa BN Johor mahu mempertahankan dominasi politiknya di negeri berkenaan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pengagihan kerusi dengan parti-parti lain.

Pada masa sama, pengumuman itu dijangka mencetuskan pelbagai tafsiran mengenai bentuk kerjasama politik antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di Johor menjelang PRN akan datang.

Onn Hafiz turut menzahirkan doa agar Johor terus dilindungi dan dirahmati.

“Allah Peliharakan Sultan, Allah Berkati Johor, Kepada Allah Kita Berserah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat