KUALA LUMPUR, 16 April — Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menempelak Parti Amanah Negara (Amanah) supaya tidak terlalu ghairah berbicara soal agihan kerusi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa.
Beliau berkata, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang bersungguh-sungguh mengingatkan rakyat mengenai cabaran ekonomi yang sedang dihadapi negara, tindakan Amanah menzahirkan hasrat untuk memahat nama di kerusi Parlimen Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan dilihat tidak sensitif terhadap kesusahan rakyat.
“Di saat rakyat sedang sesak nafas memikirkan kos sara hidup, Amanah nampaknya lebih ghairah berpolitik demi kelangsungan ego sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Razlan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata, tindakan itu bukan sahaja boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan, malah memberi gambaran seolah-olah Amanah lebih mengutamakan percaturan politik berbanding membantu kerajaan menangani isu rakyat.
Menurut beliau, Parlimen Titiwangsa ketika ini sudah mempunyai wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN), justeru timbul persoalan mengenai niat sebenar Amanah untuk menuntut kerusi tersebut.
“Adakah benar untuk berbakti kepada rakyat atau sekadar mahu mencetuskan pertembungan politik demi kepentingan sendiri?” katanya.
Beliau turut menyifatkan alasan bahawa parti lain mempunyai lebih banyak kerusi sebagai hujah yang dangkal dan memalukan kerana mandat sesuatu kerusi adalah hak rakyat yang memilih, bukannya bahan tawar-menawar politik.
“Ini bukan agihan bantuan zakat; ini adalah mandat rakyat,” katanya.
Mohd Razlan berkata, rakyat mahukan wakil yang konsisten turun padang dan menyelesaikan masalah setempat, bukannya ahli politik yang hanya muncul apabila bahang pilihan raya mula terasa.
Katanya, Amanah perlu memberi tumpuan kepada usaha membantu kerajaan dan Perdana Menteri menstabilkan ekonomi serta mengurangkan beban rakyat, bukannya mencetuskan konflik sesama rakan gabungan.
Semalam, Amanah dilaporkan menyasarkan kerusi Putrajaya, Labuan dan Titiwangsa untuk ditandingi pada PRU-16, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen kerajaan.
Mohd Razlan menegaskan UMNO dan BN akan terus mempertahankan prinsip bertanding atas kekuatan akar umbi dan mandat yang diperoleh melalui sokongan rakyat.
“Politik bukan medan berebut pengaruh, tetapi amanah untuk berkhidmat,” katanya.



