KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan isu berhubung dakwaan Indonesia terhadap isu persempadanan di Pulau Sebatik, perlu dirujuk kepada Peguam Negara.
Beliau berkata, ia kerana isu terbabit di bawah bidang kuasa Peguam Negara.
“Saya menteri di Jabatan Perdana Menteri. Isu itu kena tanya Peguam Negara,” katanya menurut Harian Metro pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Staf Presiden (KSP), M Qodari bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini sah menjadi milik Indonesia.
Qodari dilaporkan berkata, perubahan itu adalah hasil diplomasi berhubung penyelesaian sempadan darat antara Indonesia dan Malaysia.
Terdahulu, Azalina mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya Bil 3 Tahun 2026 di Parlimen.



