Exco Perlis mohon maaf jersi bola beli secara borong ada logo syarikat judi atas talian

KANGAR, 16 April — Exco Kerajaan Negeri Perlis, Wan Zikri Afthar Ishak, tampil memohon maaf dan menafikan dakwaan bahawa beliau mempromosikan aktiviti judi atas talian susulan kritikan yang tular di media sosial berhubung pemakaian jersi yang mempunyai logo dikaitkan dengan platform perjudian.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik selepas isu itu dibangkitkan oleh pempengaruh media sosial Alif Ahmad, Wan Zikri menjelaskan kehadirannya dalam program bola sepak berkenaan adalah atas jemputan bagi menyantuni pasukan Bekpes Hot FM serta menyokong aktiviti sihat dalam kalangan belia.

Menurut beliau, penyertaannya dalam perlawanan tersebut sama sekali tidak bertujuan untuk mempromosikan mana-mana jenama, lebih-lebih lagi yang mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian.

“Saya mulakan kenyataan ini dengan bertaubat kepada Allah Taala dan memohon maaf kepada semua umat Islam di atas kekhilafan apa yang telah berlaku,” katanya.

Wan Zikri berkata, hasil semakan dengan pihak pengurusan pasukan mendapati jersi yang digunakan merupakan jersi siap sedia yang dibeli secara borong di pasaran terbuka di kawasan sempadan negeri.

Katanya, pihak pasukan hanya membuat cetakan nombor pada jersi sedia ada tanpa menyedari logo yang tertera padanya mempunyai kaitan dengan platform judi atas talian.

Beliau turut menegaskan bahawa sebagai seorang Muslim, beliau berpegang teguh kepada prinsip agama dan menolak sebarang bentuk penglibatan dengan perjudian yang jelas diharamkan dalam Islam.

“Saya beriman dengan pengharaman judi dan menolak untuk terlibat dengan apa yang berkaitan dengan judi,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau mengakui kelemahan dari sudut penelitian sebelum memakai jersi tersebut dan menerima segala teguran secara terbuka.

Wan Zikri berkata beliau telah menurunkan hantaran asal yang memaparkan gambar berkenaan sebagai tanda penyesalan dan insaf.

Isu itu mula menjadi perhatian selepas gambar beliau bersama Ahli Parlimen Kangar memakai jersi berlogo yang didakwa menyerupai jenama platform judi atas talian tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kritikan ramai pihak.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat