KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hajiji Noor menafikan dakwaan kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik diserahkan kepada Indonesia seperti yang dilaporkan beberapa media negara jiran.
Ketua Menteri Sabah itu menegaskan, dakwaan berkenaan adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan keadaan sebenar hasil rundingan antara kedua-dua negara.
“Itu tidak betul. Siapa yang cakap diserahkan? Sebenarnya kita yang mendapat keuntungan dalam perkara ini, namun perkara ini tidak boleh diperincikan secara terbuka,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan lapor Utusan di Lahad Datu pada Khamis.
Hajiji berkata, perbincangan berkaitan sempadan itu membabitkan kepemimpinan tertinggi negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
“Perkara ini melibatkan hubungan diplomatik, jadi kita tidak boleh membuat kenyataan secara terbuka, namun apa yang penting Malaysia sebenarnya mendapat manfaat,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Ketua Staf Presiden Indonesia, Muhammad Qodar mengeluarkan kenyataan bahawa wilayah kedaulatan Indonesia telah bertambah secara sah sebanyak 127.3 hektar di Pulau Sebatik, Kalimantan Utara selepas selesai proses penetapan persempadanan darat dengan Malaysia.
Katanya, kira-kira 4.9 hektar kawasan di sepanjang sempadan lama Indonesia pula kini menjadi sebahagian wilayah Malaysia.
Menurutnya lagi, penetapan sempadan di Pulau Sebatik adalah manifestasi nyata kejayaan diplomasi damai yang memperkukuh kedaulatan wilayah Indonesia.



