KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman menjangkakan Umno tidak akan tunduk kepada cadangan DAP supaya mengisytiharkan darurat dengan niat menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau malah yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan darurat di Melaka, kerana ini bukan krisis yang mengancam keselamatan dan nyawa.
“DAP hendak mengajar Umno isytihar darurat, tangguh PRN, konon krisis ekonomi.
“Mustahil Umno mahu ikut cakap DAP, kerana pantang orang Melayu jika dipanggil ‘pak turut’, apatah lagi kepada DAP.
“Lagipun UMNO yakin boleh menang besar di Melaka.
“Mustahil juga PM boleh bersetuju dengan cadangan darurat di Melaka, kerana ini bukan krisis yang mengancam keselamatan dan nyawa,” kata Syahir.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden Pas berkata, sepatutnya kerajaan umum pakej bantuan dan langkah mitigasi, bukan asyik menyalahkan.
“Urus krisis dengan baik, bukan mengelak daripada menyelesaikan. Ini bukan kali pertama Malaysia dilanda krisis – 1987, 1997, 2008, dan 2020; semuanya ditangani dengan baik.
“Langkah yang diambil PM terdahulu berjaya melindungi rakyat dan peniaga, walaupun berdepan krisis ekonomi, komoditi, kewangan, dan pandemik.
“Daya tahan, daya saing, dan kedaulatan ekonomi kekal terpelihara di bawah PM terdahulu.
“Namun ini kali pertama, di bawah PMX dan Kerajaan Madani, krisis ditangani tanpa halatuju dan penyelesaian yang konkrit.
“Dalam hal ini, pembangkang sedia untuk sidang khas Parlimen, bincang bersama, cari penyelesaian demi kebaikan rakyat dan negara. Kami sedia untuk bekerjasama,” ujarnya.
Tetapi jika hendak pilihan raya, kami telah lama bersedia, kata Syahir lagi.
“Rakyat pun sudah tidak sabar menunggu bila tarikh pilihan raya.
“Berbalik kepada DAP, orang Melaka lebih kenal siapa mereka. Dengar kata, penaja dan penderma pun sudah menjauhkan diri daripada DAP.
“Kepada Umno, sila buka gelanggang! Buktikan kalian bukan ‘pak turut’ – pembela agama, bangsa, dan negara. Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat,” katanya.



