KOTA BHARU: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa tidak bersetuju dengan desakan beberapa pihak dalam UMNO yang menggesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengundurkan diri sebagai presiden parti.
Annuar berkata proses demokrasi dalam parti mesti berjalan seperti biasa tanpa kekalutan yang tidak diperlukan, malah menasihatkan agar pimpinan UMNO merapatkan saf terutama pada bulan Ramadan ini serta fokus kepada tujuan memperkukuhkan parti.
“Saya rasa tak elok, saya tak setuju, saya fikir kita ikut apa yang ada dalam peraturan partilah. Kalau nak berundur, itu adalah hak yang tuan punya badan.
“Namun bagi saya, ikut saja apa yang ada dalam peraturan parti, sehingga sampai masa ada pemilihan, dan semua orang bebas (memilih).
“Jadi kalau boleh dalam UMNO ini, saya fikir elok kurangkan ketidakstabilan, kalau pengunduran itu menyebabkan ketidakstabilan pun tidak baik juga, nanti kita tak dapat fokus tujuan kita nak perkukuhkan parti, jadi saya fikir tidak perlulah mendesak apa-apa,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.
Jelasnya tempoh pemegang jawatan dalam UMNO sekarang akan tamat pada 30 Jun depan, jadi ahli UMNO dinasihatkan agar menunggu sebelum membuat pilihan ketika pemilihan parti.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan bekalan makanan bagi penduduk di Parlimen Ketereh, di Melor, pada Khamis.
Sebelum ini, Ahmad Zahid digesa oleh beberapa pemimpin akar umbi UMNO supaya mengundurkan diri daripada jawatan yang disandangnya itu dan memberi laluan kepada wajah baharu untuk memimpin parti tersebut.
– Astro Awani