Polis Panggil Suami Bekas Gabenor BNM Berkaitan Kes Dana 1MDB

- Advertisement -

PETALING JAYA – Tawfiq Ayman, suami kepada bekas gabenor Bank Negara (BNM), Zeti Akhtar Aziz, dilaporkan memberi keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman kira-kira tiga jam hari ini.

The Edge melaporkan Tawfiq dan peguamnya, Jagjit Singh dilihat memasuki Menara KPJ di Jalan Tun Razak, yang menempatkan pejabat JSJK, kira-kira 10 pagi dan keluar selepas 1 tengah hari tadi.

Laporan itu memetik sumber sebagai berkata, keterangan itu diambil Foo Wei Min, pegawai penyiasat untuk kes 1MDB. Tawfiq mungkin dipanggil semula minggu depan.

Menurut laporan, beliau dipercayai dipanggil untuk memberi keterangan mengenai dana berkaitan 1MDB yang didakwa dipindahkan ke sebuah akaun bank miliknya di Singapura.

Februari lalu, polis Singapura dilapor memaklumkan BNM mengenai transaksi mencurigakan membabitkan sebuah syarikat milik suami dan salah seorang anak Zeti, dengan dana datang daripada akaun dikaitkan dengan ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low.

Ia membabitkan dana mencurigakan yang masuk ke akaun Iron Rhapsody Ltd, milik Tawfiq, dan salah seorang anaknya yang tidak dinamakan.

Sumber empat transaksi itu dilapor membabitkan dana daripada keuntungan yang diperolehi Jho Low dan sekutunya hasil daripada bon RM5 bilion 1MDB/TIA (Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu) yang diatur Ambank pada 2009.

Jabatan Hal Ehwal Komersial Polis Singapura berkongsi maklumat itu dengan BNM pada 2015 dan 2016, ketika Zeti menjadi gabenor BNM.

Bulan lalu, Pengarah JSJK Bukit Aman, Zainuddin Yaacob, dilaporkan berkata polis sedang menyiasat kes itu bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Katanya, mereka juga sedang mengambil tindakan susulan mengikut Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 bagi mendapatkan keterangan individu yang berada di luar negara. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat