KUALA LUMPUR – Datuk Wan Saiful Wan Jan bertindak menarik balik rayuan pemecatannya daripada Bersatu, beberapa hari selepas menyatakan untuk mencabar tindakan itu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor dalam catatan di Facebook, Wan Saiful berkata, beliau telah menghantar surat berkenaan semalam kepada Lembaga Rayuan.
“Saya telah menghantar surat kepada Pengerusi Lembaga Rayuan Bersatu untuk menarik balik rayuan saya.
“Untuk menutup topik ini, saya mahu sebutkan satu perkara. Antara tuduhan kesalahan saya ialah mengusahakan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif (dan lanjutannya ialah Majlis Presiden) dalam Perikatan Nasional.
“Perkara yang sama dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. Inilah perkara yang dia tulis dalam suratnya kepada Presiden-Presiden parti dalam PN.
“Inilah hipokrasi Muhyiddin dan penjilatnya,” katanya.
Oktober lalu, Wan Saiful dipecat Bersatu kerana melanggar perlembagaan dan kod etika parti.
Menurut surat pemakluman kepada Lembaga Rayuan, Wan Saiful mengucapkan penghargaan kepada badan berkenaan yang disifatkannya ‘profesional dan telus’, sambil mengkritik Lembaga Disiplin.
“Yang mana ini adalah jauh berbeza dengan sikap ahli-ahli Lembaga Disiplin,” katanya.
Beliau mendakwa, Bersatu juga tidak mempunyai masa depan kerana Presiden Muhyiddin Yassin merelakan diri dikuasai Setiausaha Agung Datuk Seri Azmin Ali.
“Ini menyebabkan Bersatu lari jauh dari agenda rakyat, kepada memperjuangkan agenda dan cita-cita peribadi.
“Maka dengan itu, saya menarik balik rayuan berkuat kuasa serta merta,” katanya.
Pada 13 Feb, Bersatu memecat Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin, disusuli 16 pemimpin lain termasuk tiga Ahli Parlimen iaitu Datuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Azahari Hasan (Padang Rengas), dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).



