KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau tidak perlu bercuti, ini susulan gesaan beberapa pihak yang mahu dirinya bercuti dan berehat sementara siasatan dijalankan terhadapnya susulan dakwaan pemilikan saham di sebuah syarikat.
Gesaan itu dibuat Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz yang mahu proses siasatan berjalan secara bebas, telus dan tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, lapan Ahli Parlimen PKR turut mendesak kerajaan supaya menggantung tugas Azam susulan pendedahan media antarabangsa, Bloomberg.
Menurut Azam, gesaan agar bercuti adalah tidak perlu kerana beliau akan terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Itu terpulang (gesaan supaya bercuti dan berehat). Saya tidak perlu bercuti. Kalau hendak bercuti saya bagi tahu berapa ramai kena tuduh sekarang ini di mahkamah masih lagi bertugas?
“Ada orang jadi (bekas) Menteri Kewangan pun masih lagi dan dituduh menjadi Menteri Kewangan apa masalahnya? Saya ada criminal (kes jenayah) ke,” katanya ditemui pada Majlis Perasmian Kampung Angkat Madani di Kampung Sungai Buah, di Sepang, lapor Utuasan.
Dalam perkembangan sama, Azam berkata, beliau sedia memberi kerjasama terhadap Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat dakwaan ke atasnya itu.
“Tentulah (saya akan beri kerjasama), takkan saya tak kerjasama pula. Saya yang minta disiasat,” tegas Azam.
Beliau berkata, akan menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa itu dan bersedia bila-bila masa memberi keterangan termasuk menyerahkan apa-apa dokumen diperlukan.
Namun, buat masa ini, beliau mengesahkan belum dipanggil untuk diberi keterangan berhubung perkara itu.
“Saya akan berikan dokumen tapi ada dokumen-dokumen yang peribadi saya akan tunjuk pada merekalah contoh dokumen bank takkan saya nak tunjuk kepada orang yang tak berkaitan pula.
“Jadi saya menaruh keyakinan bahawa jawatankuasa ini akan menjalankan tugas mereka dengan telus,” katanya.
Jemaah Menteri sebelum ini bersetuju untuk melantik Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Moktar bagi mengetuai jawatankuasa itu selain turut dianggotai Ketua
Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Sementara itu kata Azam, tuduhan melabelkan SPRM ‘mafia korporat’, tidak berasas dan dibuat bersandarkan maklumat tidak sahih justeru tidak peduli dengan tuduhan itu kerana ia dipetik daripada maklumat tidak sah.
“Saya tidak pedulilah YouTube, YouTube ini saya tidak peduli tuan-tuan. Ini semua kalau mereka ada apa keterangan yang mereka ambil daripada mana-mana maklumat tidak sah, terpulang kepada mereka.
“Sesiapa hendak buat laporan polis pergilah lapor pada polis, saya tidak kisah mengenainya.
“Kamu (wartawan) ada etika sendirikan. Adakah kamu ingin ambil maklumat dan berita dari maklumat yang tidak sahih.
“Kalau ada bukti, pergi kepada pihak berkuasa dan buat laporan. Senang saja. Buatlah apa-apa video pun kalau ada elemen jenayah, pergi ke mahkamah dan pihak berkuasa. Saya okey,” katanya menurut akhbar itu.
Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi hantaran di media sosial menyorot laporan sebuah media antarabangsa yang mendakwa SPRM dibolosi oleh beberapa individu yang terpalit dengan pelbagai tuduhan jenayah termasuklah tuduhan menggunakan syarikat peminjam wang berlesen untuk mencuci duit hasil daripada aktiviti jenayah.
Azam berkata, beliau menyerahkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg dan akan meneruskan tindakan saman sekiranya tiada maklum balas dalam tempoh ditetapkan.
“Saya sudah hantar LOD dalam tempoh 14 hari, kalau dia (Bloomberg) tidak menjawab apa yang kami kata itu, saya akan teruskan samanlah till the end,” katanya.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat. Azam pada sidang media baru-baru ini, menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.



