27 KSU kementerian dipantau fokus kelewatan projek, salah tadbir

KUALA LUMPUR -Prestasi 27 Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) kementerian mula dipantau dan dinilai secara berstruktur menerusi pelaksanaan sistem Demerit Performance Evaluation (DEEP).

Antaranya merekodkan kelewatan pelaksanaan projek atau salah tadbir urus dalam kepe­mimpinan tertinggi kemen­terian.

Mekanisme baharu ini meletakkan akauntabiliti kepemim­pinan tertinggi kerajaan di ba­wah pemantauan berasaskan data yang mula dilaksanakan tahun lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pemantauan berterusan terhadap 27 KSU setakat tahun pelaksana­an 2025 memperlihatkan trend peningkatan dalam pematuhan prosedur, ketelusan perbelanjaan dan pengukuhan integriti, tertakluk kepada pembenta­ngan penilaian akhir.

Ia turut memantau perbelanjaan mengurus (OE) dan perbe­lanjaan pembangunan (DE) berbanding unjuran, kesiapsiagaan projek pra-pelaksanaan, pengen­dalian projek lewat ja­dual atau projek sakit serta pelaporan kes salah laku.

“Ini bermakna kelewatan projek atau salah tadbir bukan lagi isu terpencil, sebaliknya direkod dan dinilai dalam kerangka prestasi kepimpinan,” menurut Utusan.

Bagaimanapun Wan Ahmad Dahlan berkata, ia bukan bertujuan menghukum sebaliknya instrumen strategik memastikan kementerian bergerak selari dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan aspirasi digariskan kerajaan.

Namun, katanya, pelaksana­annya membawa mesej jelas iaitu prestasi kepimpinan tertinggi tidak lagi dilindungi persepsi, tetapi diukur secara kuantitatif dan telus.

Menurut beliau, dalam era pentadbiran yang semakin kompleks, kejayaan tidak lagi dinilai berdasarkan jumlah projek diluluskan atau peruntukan dibelanjakan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira aspek integriti, ketelusan, disiplin tadbir urus dan keupayaan membuat keputusan strategik.

“Markah demerit bukan hukuman. Ia cerminan ketidakcapaian sasaran. Dalam masa sama, markah remerit diberi bagi usaha penambahbaikan dan faktor luar kawalan.

“Pendekatan itu meletakkan kepimpinan tertinggi kementerian dalam kerangka penilaian menyeluruh merangkumi pengurusan kewangan, pelaksanaan projek pembangunan, integriti, kepemimpinan serta keberhasilan program berimpak tinggi kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, katanya, DEEP berfungsi sebagai sistem amaran awal melalui pelaporan berkala yang mana kementerian boleh mengenal pasti isu prestasi sebelum ia berkembang menjadi krisis struktur yang menjejaskan rakyat.

Selain itu, kata beliau, mekanisme pu­singan kerja yang turut menjadi indikator penilaian memberi penekanan kepada kesejahteraan pegawai dan kemampanan organisasi, sekali gus mengurangkan risiko keletihan melampau (burnout).

“Penilaian penuh terhadap Ketua Jabatan akan dilaksanakan mulai suku kedua tahun ini. Keberanian mengenal pasti kelemahan dan membetulkannya lebih awal adalah tanda kematangan institusi.

“Dengan penekanan tindakan pemulihan awal, markah demerit bukanlah ancaman, tetapi peringatan bahawa terdapat ruang untuk memperbaiki proses dan keputusan,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata, DEEP menyokong aspirasi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi Amanat Tahun 2026 lalu yang mahu perkhidmatan awam perlu bergerak dengan pantas, fokus kepada hasil nyata, dan memastikan pelaksanaan program selaras dengan reformasi berterusan.

Katanya, amanat ini menekankan empat tumpuan strategik iaitu mempercepat pelaksanaan dan perancangan, mempermudah urusan rakyat, memperhebat pelaksanaan agenda reformasi, serta memperkasa komunikasi total.

“DEPP menyokong aspirasi ini dengan menyediakan maklumat berasaskan data yang membolehkan kementerian mengenal pasti risiko, mempermudah pemantauan projek, dan mempercepat tindakan pembetulan,” katanya.

Pada masa sama, kata beliau, DEEP menggalakkan budaya kerja berpandangan jauh, menekankan bahawa setiap tugas bukan sekadar diselesaikan, tetapi kesannya terhadap matlamat akhir dan rakyat perlu dinilai secara menyeluruh.

Dengan pendekatan ini, katanya, DEEP memastikan setiap kementerian dan jabatan bergerak bukan sahaja untuk mencapai sasaran, tetapi juga untuk memberikan nilai tambah yang sebenar,

“Ia sejajar dengan objektif reformasi perkhidmatan awam dan agenda nasional yang telah digariskan oleh KSN,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat