Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kini memberi dilema terbesar kepada Parti Islam se-Malaysia (PAS).
Dengan pemecatan tersebut, Hamzah tidak lagi mewakili mana-mana parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN). Ini sekaligus menimbulkan persoalan mengenai legitimasi kedudukan beliau sebagai Ketua Pembangkang.
Walaupun Hamzah menyatakan ada 17 orang Ahli Parlimen Bersatu bersamanya, namun ia tidak mewakili kedudukan beliau dalam PN yang masih merupakan blok pembangkang terbesar.
Sebagai parti yang mempunyai majoriti Ahli Parlimen sebanyak 43 orang, PAS perlu membuat keputusan sama ada memihak kepada Hamzah atau menamakan Ketua Pembangkang yang baharu dari parti tersebut.
Sebahagian Ahli Parlimen PAS dikatakan telah memberitahu pucuk pimpinan bahawa mereka mahu Hamzah kekal sebagai Ketua Pembangkang. Namun jika PAS memilih jalan ini, PAS bukan sahaja akan menggoncang PN tetapi juga mengorbankan prinsip yang mereka banggakan sebelum ini.
Dengan mengekalkan Hamzah, PAS memberi isyarat bahawa PN bukan lagi platform utama mereka dan mereka bersedia mengenepikan Bersatu dan PN untuk satu kerjasama dengan Kumpulan Hamzah.
Menguji prinsip PAS
Namun ada satu perkara lebih penting. Sebelum ini PAS menyerang Bersatu kerana mahu melantik tiga ADUN yang digugurkan PAS ke dalam pentadbiran negeri Perlis yang baharu.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari bulan lalu mengingatkan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab mentadbir negeri dan tidak mencampuri urusan parti lain.
Ini selepas pemimpin Bersatu itu mencadangkan agar tiga bekas Adun PAS – Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) – yang terhenti keahlian kerana langgar disiplin, dikekalkan sebagai wakil rakyat walaupun berstatus Bebas.
” PAS tidak boleh bertolak ansur dengan isu disiplin seperti ini,” tegas Fadli.
Malah beberapa hari lalu PAS menegaskan parti itu tidak memihak atau berada dalam mana-mana kem, susulan pemecatan pimpinan dan ahli BERSATU.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyudin Hassan berkata, parti itu juga tidak mencampuri kemelut yang berlaku dalam BERSATU.
“Jika ada yang mengatakan PAS berada di pihak atau kem Datuk Seri Hamzah Zainuddin, itu adalah tidak benar kerana kita tidak memihak kepada mana-mana pihak atau berada dalam kem mana-mana.
“Bukan hanya dalam BERSATU, parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) pun kita tidak campur tangan, sebaliknya hanya menguruskan parti sendiri.”
Kini ketika Hamzah belum menjadi ahli mana-mana parti komponen PN, sebarang keputusan mengekalkan kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang akan memberi isyarat bahawa PAS bersedia mengubah prinsip asalkan menguntungkan mereka.
Jalan lain
Jalan lain bagi PAS ialah mengemukakan nama Ketua Pembangkang yang baharu dari parti tersebut. Datuk Seri Takiyuddin dan Datuk Seri Shahidan Kassim adalah dua nama yang mempunyai pengalaman panjang dalam sistem Dewan Rakyat. Ini calon-calon paling sesuai mengisinya.
Jika tidak. Fadli Shaari, atau Afnan adalah antara nama yang yang boleh dipertimbangkan dan dijadikan Ketua Pembangkang yang baharu.
Jika PAS memilih mahu mengekalkan jawatan Ketua Pembangkang kepada Bersatu, maka Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin adalah orang boleh dipertimbangkang.
Apa pun buat masa ini, pisau dan mentimun di tangan PAS. Tindakan PAS akan menentukan sejauh mana komitmen mereka kepada PN atau satu jajaran politik baharu sedang dibina.



