‘Usah sebar cerita gempar’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kudrat Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 84, tidak segagah dahulu.

Kini, M Daud hanya mampu menghabiskan sisa hidup dengan berehat atas katil selain terpaksa memakai lampin pakai buang, sejak seminggu lalu.

Tahap kesihatan penyanyi lagu malar segar, Sirih Pinang dan Cek Mek Molek itu masih sama selepas menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) pada 2020.

Sebelum itu, M Daud atau nama sebenar, Muhammad Daud Kilau berdepan masalah kesihatan sejak enam tahun lalu.

Beliau yang menghidap penyakit kencing manis sudah tidak boleh berdiri lama selain kebas kaki, tangan dan sakit pinggang.

Selain itu, daya pendengarannya semakin kurang.

M Daud berkata, kesihatannya masih sama dan bergantung kepada ubat-ubatan. Malah, beliau perlu ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk dan Hospital Teluk Intan (HTI) untuk melakukan pemeriksaan secara berkala.

M Daud terpaksa memakai lampin pakai buang sejak seminggu lalu berikutan masalah pembuangan dan kerap kencing.

“Kesihatan masih sama. Namun, saya boleh berjalan dan menguruskan diri dengan bantuan keluarga.

“Cuma, sekarang saya lebih banyak berehat atas katil. Dalam masa sebulan, dua atau tiga kali saya kena ke klinik, hospital atau IJN untuk melakukan pemeriksaan.

“Saya bersyukur sudah tidak sesak nafas selepas menjalani pembedahan angioplasty.

“Saya kurang berselera makan, tetapi tetap makan. Alhamdulillah, Allah masih memberi peluang kepada saya sihat seperti ini.

“Harap peminat mendoakan kesihatan saya,” katanya ketika ditemui BH Online di kediamannya di Kampung Sungai Balai Baruh, Bagan Datuk, semalam.

Bagaimanapun, M Daud melahirkan rasa terkilan apabila kisah lama mengenai kesihatannya semakin merosot dan memerlukan bantuan, kembali tular dalam media sosial.

 

M Daud menggantung sehelai baju labuci di sisi katil untuk mengubat kerinduannya beraksi di pentas persembahan sambil bergelek yang kini tidak mampu dilakukan lagi. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
M Daud menggantung sehelai baju labuci di sisi katil untuk mengubat kerinduannya beraksi di pentas persembahan sambil bergelek yang kini tidak mampu dilakukan lagi. – NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

 

Beliau juga tidak berdepan masalah kewangan dan tahap kesihatan tidak terlalu serius seperti digambarkan.

“Saya terima jika ada yang mahu memberi sumbangan dan sebagai tanda ingatan. Saya berharap tiada lagi keluar cerita yang menggemparkan seperti ini,” katanya.

Seperti irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan, begitu juga dengan M Daud Kilau.

Bagi juara program Bintang Radio di Singapura pada 1968 itu, beliau rindu mahu beraksi di pentas. Namun, tahap kesihatannya tidak mengizinkan ketika ini.

Jauh di sudut hati, katanya, dia sudah cukup berpuas hati dengan yang dikecapi selama ini.

“Kerinduan nak menyanyi tetap ada, namun apakan daya. Tidak mengapalah, apa yang dikecapi sebelum ini sudah cukup buat saya berpuas hati.

“Saya pun sudah tidak berdaya nak bergelek lagi, malah, suara pun rasanya tidak selunak dahulu,” katanya.

M Daud berkata, koleksi baju labuci masih disimpan dan dijaga dengan baik sebagai kenangan sepanjang 54 tahun bergelar pejuang seni.

“Saya terharu beberapa rakan artis termasuk Zaiton Sameon datang menziarah, baru-baru ini.

“Peminat juga datang dan bertanya koleksi baju labuci yang sehelai disangkut di sisi katil. Mereka ada melihat baju ini, sebenarnya inilah yang menjadi pengubat rindu saya.

“Sebelum ini, ada pihak mahu mencari penyanyi pelapis saya. Saya merancang mahu menghadiahkan baju labuci ini kepada pemenang, tetapi projek ini senyap begitu sahaja, mungkin sebab penularan pandemik COVID-19,” katanya.

M Daud diserang sesak nafas hingga terpaksa dimasukkan ke HTI dan diberikan bantuan oksigen pada November 2020.

Kemudian M Daud berdepan masalah injap jantung sempit dan menjalani prosedur pembedahan angioplasty pada bulan sama.

Pelakon filem Man Laksa kini tidak mengalami sesak nafas dan tidak tercungap-cungap lagi selepas tiga salur darah dimasukkan alat sten dalam pembedahan berkenaan.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat