PBM Sasar Tanding Empat Kerusi Dalam PRN Johor

- Advertisement -

PETALING JAYA – Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyasarkan untuk bertanding di empat kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor bulan depan.

Menurut sumber, daripada empat kerusi itu, dua adalah bawah Parlimen Tebrau, iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dan Puteri Wangsa.

“Insya-Allah ada penambahan (kerusi), kami akan bertanding empat kerusi. Dua kerusi bawah Parlimen Tebrau, iaitu di DUN Tiram dan Puteri Wangsa,” katanya kepada FMT.

Kata sumber, kerusi itu dipilih kerana Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon yang juga Naib Presiden PBM merupakan wakil rakyat yang berkhidmat di kawasan itu, justeru ia memudahkan gerak kerja jentera dalam menghadapi PRN di kedua-dua DUN berkenaan.

DUN Puteri Wangsa menjadi perhatian apabila Amanah menyerahkan kerusi itu yang juga kawasan majoriti bukan Melayu kepada MUDA.

DUN berkenaan terdiri daripada 39% pengundi Melayu, Cina (50%), India (10%) dan bakinya 1% lagi adalah lain-lain pengundi.

Pada pengumuman calon sebelum ini MUDA mempertaruhkan Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abd Aziz di kerusi berkenaan.

Sementara itu, sumber PBM turut memberikan gambaran bahawa calon yang akan diletakkan di DUN berkenaan “tidak semestinya orang muda, namun agak dikenali dan mampu memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat”.

Katanya, PRN Johor adalah medan terbaik untuk PBM memperkenalkan “Agenda The Great Reset 2030” yang terdiri daripada enam tunjang utama dan dalam tempoh berkempen pula, PBM tidak akan menyerang mana-mana parti demi meraih undi.

“Kita tidak akan hentam mana-mana pihak, bagi kita sekarang ni semua parti politik bersama walaupun dalam perjuangan masing-masing tetapi bukannya masa untuk salahkan satu sama lain.

“Dalam berdepan PRN ini, kita perlu lebih berbesar hati termasuk pendokong setiap parti. Jangan lagi main sentimen aku kutuk dia, dia kutuk aku,” katanya.

Ditanya berkaitan jentera yang akan turun berkempen, sumber memaklumkan bahawa ahli PBM di seluruh negara akan membantu calon dalam memastikan kemenangan di kerusi yang akan ditandingi nanti.

Pengarah Pilihan Raya PBM, Haniza Talha ketika dihubungi bagi mengesahkan perkara itu berkata, tiada sebarang keputusan yang dimuktamadkan lagi buat masa ini. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat