Mengapa Tun M pilih diam sedangkan tahu berlaku kecurian? – Mahfuz

KUALA LUMPUR – Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau “mengetahui” Tan Sri Muhyiddin Yassin mencuri wang parti Bersatu adalah satu dakwaan jenayah yang amat serius dan tidak boleh dibiarkan berlalu sebagai modal politik semata-mata.

Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar menegaskan, apabila seorang bekas Perdana Menteri, pengasas dan bekas Pengerusi parti menyatakan bahawa beliau tahu berlakunya kecurian, maka isu ini tidak lagi bersifat persepsi atau sentimen. Ia adalah persoalan jenayah, integriti dan kegagalan amanah awam.

“Persoalan paling asas yang gagal dijawab oleh Tun Mahathir ialah mengapa beliau memilih untuk berdiam diri jika benar mengetahui berlakunya suatu kesalahan jenayah?

“Tun Mahathir bukan individu tanpa kuasa ketika tempoh tersebut. Beliau berada di puncak kuasa eksekutif negara, mempunyai keupayaan mengarahkan siasatan dan bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan undang-undang. Namun, tiada laporan polis dibuat, tiada siasatan diarahkan, dan tiada tindakan diambil.

“Lebih memburukkan keadaan, dakwaan ini hanya didedahkan selepas hubungan politik beliau dengan Muhyiddin berakhir. Ini menimbulkan persepsi yang amat serius bahawa dakwaan jenayah ini disimpan sebagai senjata politik, bukan dibangkitkan atas dasar menegakkan keadilan,” kata Mahfuz dalam kenyataan media semalam.

Menurut beliau, dalam negara hukum, tiada ruang untuk logik songsang seperti “saya tahu jenayah berlaku, tetapi saya memilih untuk diam.”

Ujar Mahfuz, sikap sedemikian bukan kebijaksanaan politik, tetapi satu kegagalan moral dan institusi yang mencemar prinsip keadilan.

“Dari sudut undang-undang, Tun Mahathir kini meletakkan dirinya dalam kedudukan yang tidak boleh dielakkan daripada penelitian.

“Sekiranya dakwaan itu benar, maka kegagalan beliau untuk melaporkannya menimbulkan persoalan sama ada berlaku perbuatan menyembunyikan kesalahan atau keengganan melaporkan maklumat jenayah, lebih-lebih lagi apabila beliau berada dalam kedudukan berkuasa.

“Sekiranya dakwaan itu tidak benar, maka kenyataan tersebut berpotensi menjadi satu fitnah jenayah yang serius terhadap individu lain dan wajar diambil tindakan undang-undang.

“Tun Mahathir tidak boleh pada masa yang sama mendakwa mengetahui kebenaran, tetapi enggan bertindak apabila undang-undang menuntut keberanian dan tanggungjawab,” kata Mahfuz.

Sehubungan itu, pendirian Mahfuz adalah jelas dan tegas yakni, Tun Dr Mahathir Mohamad wajib membuat laporan polis segera dan menyerahkan segala bukti yang kononnya beliau miliki; atau
sekiranya Tun Mahathir terus memilih untuk berdiam diri, pihak polis dan agensi penguatkuasaan tidak lagi boleh berpeluk tubuh dan wajar membuka siasatan bagi menentukan sama ada:
kesalahan jenayah benar-benar berlaku dan sama ada wujud perbuatan menyembunyikan atau kegagalan melaporkan maklumat jenayah oleh mana-mana pihak.

“Undang-undang tidak boleh tunduk kepada sejarah, umur atau gelaran.

“Jika rakyat biasa boleh disiasat kerana berdiam diri, maka negarawan juga tidak terkecuali,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat