KUALA LUMPUR- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang giat mengusahakan Jelapang Padi kedua negara di Sarawak.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras, sekali gus mengukuhkan keterjaminan makanan negara.
Menurut beliau usaha ini juga akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan serta memacu pembangunan sektor pertanian di negeri Sarawak.
“Ini adalah salah satu langkah reformasi industri padi dan beras negara.
“Usaha ini dilakukan demi menjamin keselamatan makanan dan kemandirian bekalan negara,” katanya pada Jumaat.
Untuk rekod, Sarawak menyumbang 6.5 peratus pengeluaran beras negara berbanding negeri jelapang padi, Kedah iaitu 36.6 peratus.
Sarawak dijangka bakal menjadi jelapang padi terbesar di Malaysia pada penghujung 2030 susulan usaha kerajaan Sarawak untuk mengeluarkan lebih banyak padi dan beras di negeri tersebut.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini pernah berkata, kawasan Lingga dan Stumbin, Sri Aman telah dikenal pasti sebagai kawasan pengeluaran padi, selain Simunjan, Gedong dan Lundu.
Katanya, fasa pertama ini memerlukan suntikan dana berjumlah RM500 juta untuk membangunkan saliran yang akan dibiayai oleh kerajaan Sarawak.
Menurutnya, Sarawak hanya memerlukan 240,000 metrik tan beras sahaja, selebihnya akan dikongsi bersama rakan di Semenanjung Malaysia.