Haqiem ‘mengukir’ bintang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usia perjuangan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33, Haqiem Rusli, 22, bukan dalam tempoh singkat.

Tiada siapapun menyedari bakat besar yang dimiliki penyanyi dan komposer muda ini ketika menyertai program realiti, Idola Kecil pada 2008.

Masa berlalu, zaman anak-anak ditinggalkan, tiada jalan pintas buat penyanyi kelahiran Hulu Langat, Selangor itu

mendaki ke puncak populariti dengan pantas.

Hari ini, siapa sangka, usaha tanpa mengenal lelah, Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli sudah mendaki puncak populariti yang menjadi dambaan setiap artis. Hakikatnya, tak ramai artis bernasib baik menyandang gelaran ‘Bintang Paling Popular’ dalam usia masih muda.

Dijulang sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH 33, Haqiem menang besar dan mengetepikan pesaingnya dengan meraih undian tertinggi sebanyak 22,322,676 undi.

Namun, kemenangan penyanyi yang pernah diangkat Artis Sensasi Popular dan Lagu Paling Boom Popular pada ABPBH tahun lalu bukan mengejutkan, apatah lagi namanya antara yang diramalkan bakal mengungguli trofi utama, selain Elly Mazlein, Ben Amir, Siti Nordiana dan Wany Hasrita.

Sebak ketika membuka bicara, Haqiem mengakui, dia melangkah ke malam kemuncak ABPBH 33 tanpa meletakkan harapan tinggi, biarpun melihat bilangan artis yang hadir cukup terhad.

“Saya sukar meramalkan akan beroleh kemenangan besar, lebih lagi bersaing dengan ramai penyanyi hebat.

“Tiada siapa yang mampu mentafsir rezeki yang sudah ditulis. Kemenangan ini disebabkan niat yang ikhlas setiap kali menghasilkan karya.

“Bagi saya, tak kisah mengeluarkan lagu mengenai apa sekalipun. Apa yang lebih penting adalah niat. Sekiranya niat positif diterapkan, pasti hasilnya juga positif,” katanya kepada BH Online.

Mengulas komen netizen yang memuji sifatnya tidak membelakangkan orang tua hingga beroleh keberkatan hidup dan rezeki tidak terduga, Haqiem berkata, perkara pertama yang ingin dilakukan adalah bertemu orang tuanya.

“Saya mahu berkongsi kejayaan ini bersama ibu bapa dan keluarga. Saya mahu balik jumpa mak dahulu. Saya tahu mak akan menangis dan pasti menunggu kepulangan saya di rumah.

“Jika ditanya mengenai harapan selama tiga tahun membolosi pencalonan dalam ABPBH, sejujurnya saya sangat berharap kemenangan. Bagaimanapun, saya tak pernah sangka ia menjadi kenyataan secepat ini.

“Saya menonton ABPBH di kaca televisyen, saban tahun. Saya pernah menyimpan angan-angan mahu menang Bintang Paling Popular, suatu hari nanti. Tak sangka impian saya menjadi kenyataan, tahun ini,” katanya.

 

Penyanyi, Haqiem Rusli diangkat sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH 33 pada usia 22 tahun. - Foto NSTP
Penyanyi, Haqiem Rusli diangkat sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH 33 pada usia 22 tahun. – Foto NSTP

 

Seperti yang dikongsi menerusi laman sosial, Haqiem ingin menunaikan hasrat ibunya, Nazrah Ahmad Nordin untuk memiliki kereta baharu.

Dengan itu, Haqiem tidak menolak usahanya membahagiakan orang tua adalah faktor besar mempengaruhi kemenangannya. Jadi, Haqiem berhasrat memberikan hadiah kemenangan kepada bapanya pula.

Kemenangan Bintang Paling Popular, ABPBH 33 melayakkan Haqiem membawa pulang hadiah utama, kereta Nissan LEAF Serba Baharu dengan kuasa elektrik 100 peratus dan sifar emisi berharga RM181,263, sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) berserta trofi.

Selain meraih trofi utama yang menjadi rebutan, Haqiem turut membawa pulang trofi Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia yang menewaskan Khai Bahar yang mendominasi kategori berkenaan selama tiga tahun berturut-turut serta kategori Lagu Paling Boom Popular menerusi lagu Lembah Kesepian.

Lumrah apabila menggenggam trofi utama, pasti timbul pertikaian menerusi laman sosial. Diasak dengan perdebatan netizen dan menerima komen berbaur kecaman, penyanyi yang popular menerusi lagu Tergantung Sepi dan Selamat Tinggal Sayang itu terbuka dengan setiap pandangan.

“Kecaman, sudah menjadi perkara biasa dalam kehidupan saya. Mulut tempayan boleh ditutup, tapi bagaimana mulut manusia? Saya tahu netizen mempunyai pendapat masing-masing, jadi tak perlulah nak salahkan mereka. Apa juga kecaman yang diterima, saya tak tertekan menghadapinya.

“Saya tahu apa yang dilakukan, saya juga tak pernah kacau orang. Namun begitu, saya akan dengar dan belajar daripada apa yang diperkatakan. Dari situ, saya boleh memperbaiki diri.

“Kesimpulannya, apa yang dikatakan, kemenangan adalah rezeki Allah. Jika tahun lalu, Mira Filzah berjaya membawa pulang trofi ini, tahun ini rezeki saya. Mungkin tahun depan rezeki artis lain pula,” katanya dengan tenang.

 

Bukan hanya dinobatkan Bintang Paling Popular, Haqiem Rusli juga membolot trofi Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia dan Lagu Paling Boom Popular menerusi lagu Lembah Kesepian menerusi kategori online. - Foto NSTP
Bukan hanya dinobatkan Bintang Paling Popular, Haqiem Rusli juga membolot trofi Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia dan Lagu Paling Boom Popular menerusi lagu Lembah Kesepian menerusi kategori online. – Foto NSTP

 

Haqiem berkata, dia tidak menyangkal kekuatan kelab peminat, Qiemilio.

“Mereka sudah seperti satu keluarga besar yang sentiasa berdiri teguh di belakang saya, mahu melihat mengukir kejayaan. Menerusi kemenangan ini membuktikan Qiemillio adalah satu kelab peminat yang kuat, tetapi saya juga tidak menidakkan kekuatan kelab peminat Khai Bahar Empire dan Siti Nordiana FC. Kemenangan ini memberi petanda Qiemilio setia bersama saya.

“Saya bertuah mempunyai kelab peminat yang sangat setia. Mereka boleh diibaratkan seperti sahabat dan keluarga kerana mereka terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Jadi, saya melayan mereka seperti keluarga saya sendiri,” katanya.

Haqiem berkata, dia mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada penyokong setianya, Qiemilio.

“Melihat senarai pemenang tahun lalu, Mira menang dengan enam juta undian. Bagi saya, ia satu jumlah yang sangat banyak. Bagaimanapun, saya terkejut melihat undian saya melebihi 22 juta. Saya sangat bangga dengan usaha yang diberikan Qiemilio.

Saya terhutang budi dengan keluarga Qiemilio yang berhempas pulas tidak tidur malam untuk melihat saya memegang trofi Bintang Paling Popular. Ini satu pemberian sangat berharga.

“Kemenangan ini juga satu detik yang tak mungkin saya lupakan sepanjang hidup. Trofi Bintang Paling Popular disifatkan sebagai hadiah untuk saya dan peminat. Terima kasih kerana menyokong saya sejak dahulu lagi. Saya tak mampu nak berikan apa-apa, melainkan membuktikan kecemerlangan pada masa akan datang,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat