Shahrir Samad Mahu Lawan Di Mahkamah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Ab Samad, membatalkan hasrat untuk mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam beliau, Syahrul Syazwan Salehin, ketika dihubungi Bernama menerusi WhatsApp, hari ini.

“Tan Sri Shahrir memutuskan untuk tidak menghantar representasi kerana beliau ingin membersihkan namanya melalui proses perbicaraan di mahkamah,” katanya ketika ditanya mengenai representasi itu.

Pada prosiding 21 Mei lalu, Syahrul Syazwan memberitahu pemberita bahawa Shahrir akan mengemukakan representasi, di mana pihaknya meneliti dokumen berkaitan terlebih dulu dan berbincang dengan anak guam berhubung permohonan itu.

Dalam pada itu, Syahrul Syazwan berkata, pihak pembelaan telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 30 Oktober ini.

“Kami telah memfailkan permohonan itu pada 17 Ogos lalu. Permohonan itu sepatutnya didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan pada 8 Oktober lalu, namun ditangguhkan kerana peguam utama kes dikuarantin berikutan pandemik COVID-19,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Afif Ali ketika dihubungi pula berkata pihak pendakwaan akan membantah permohonan pembelaan itu.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, menetapkan tarikh perbicaraan kes itu bermula 12 hingga 15 Oktober tetapi perbicaraan ditangguhkan berikutan peguam utama kes dikuarantin.

Justeru, ia akan bermula 9 hingga 12 November serta 3 Disember depan, dan pihak pendakwaan bakal mengemukakan sembilan saksi.

Shahrir, 71, dituduh membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada bekas Perdana Menteri itu berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013.

Cek itu kemudian telah dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 November 2013.

Oleh itu, Shahrir didakwa telah membabitkan diri secara langsung dalam transaksi yang membabitkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram, dan dituduh melakukan kesalahan di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 25 April 2014.

Pertuduhan ke atas beliau adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat