KUALA LUMPUR – Selepas melalui perbicaraan kes Program Jana Wibawa bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, atas satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan RM200 juta.
Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya empat daripada tujuh kes itu diberi perintah DNA.
“Mahkamah melepas dan membebaskan empat kes itu sahaja, jadi kita teruskan perbicaraan dengan baki tiga lagi berkaitan Jana Wibawa,” kata hakim memetik Sinar Harian pada Selasa.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin, 79, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM200 juta bagi Bersatu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd berkaitan Projek Jana Wibawa di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagaimanapun, Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Mendengar perkara berkenaan, Muhyiddin yang duduk di kandang tertuduh, kelihatan lega, disambut dengan sorakan daripada penyokongnya yang berada galeri awam.



