KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi menegaskan tindakan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mempertahankan maruah Jalur Gemilang wajar dipuji dan kelantangan beliau adalah perkara yang betul.
Puad malah menyatakan sokongan sekali gus mempertahankan tindakan Akmal dalam isu bendera terbalik.
“Saya mempertahankan tindakan Dr Akmal Ketua Pemuda Umno dalam isu bendera terbalik. Dia buat benda betul. Itu tindakan patriotisme yang patut dipuji.
“Bendera adalah panji panji negara. Ia adalah maruah. Mana ada negara tanpa bendera. Panglima tentera akan pastikan bendera tidak jatuh ke tanah.
Putus tangan kanan, tangan kiri menyambutnya. Ikrar mereka ialah “akan ku pegang sampai mati”.
“Memasang bendera terbalik adalah jenayah jika disengajakan. Jika tidak sengaja itu maknanya kurang peka, ambil lewa dan kurang patriotik. Apa perasaan kita apabila lagu Negaraku dikumandangkan ada yang tidak bangun berdiri. Apakah tidak boleh ditegur? Biarkan? Kalau ditegur, apakah kita dianggap zionis, samseng politik dan samseng perkauman? soal Puad serius.
Speaker DUN Johor itu memberitahu bahawa Dr Akmal dan Pemuda Umno bukan mahu merusuh – itu hak mereka untuk berhimpun.
“Kenapa pula LFL yang menyokong perhimpunan Turun Anwar 26 Julai lalu, tiba tiba datang menganggu perhimpunan Pemuda Umno dan bawa sepanduk tuduh Dr Akmal zionis. Bukankah kamu yang zionis?
“DAP pun 2X5. Kenapa desak polis halang perhimpunan Pemuda Umno. Apakah mereka bawa senjata untuk merusuh? Baru sekarang mahu edar bendera dan pasang bendera besar?
“Sebab itu Akmal patut dipuji kerana patriotismenya. Dia tidak membela Pemuda Umno Trengganu yang juga buat silap.
“Mereka yang menghalang patriotisme sebenarnya samseng. Termasuk samseng akademik walaupun profesor kejuruteraan,” selar Puad.



