KUALA LUMPUR – Seramai 40 anggota polis ditugaskan untuk memantau kelancaran himpunan Demi Zara Qairina yang berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo malam ini dan esok.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata langkah itu bertujuan memastikan keselamatan orang awam dan peserta himpunan terjamin.
“Kami akan membuat pemantauan rapi dengan menempatkan pegawai serta anggota keselamatan di sepanjang laluan dan kawasan perhimpunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan, setakat ini tiada penutupan atau lencongan jalan di sekitar lokasi, namun ia bergantung kepada situasi semasa.
“Polis akan memudah cara perjalanan perhimpunan ini mengikut peruntukan undang-undang,” tambahnya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai himpunan tersebut yang dipercayai dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyatakan solidariti berhubung kes yang melibatkan Zara Qairina. Himpunan dijadual bermula pada jam 8 malam.



