KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menghasut kebencian di negara ini.
Anwar berkata demikian merujuk insiden-insiden terkini yang berkaitan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di Sabah, serta isu kesilapan memaparkan Jalur Gemilang.
Perdana Menteri memberitahu, isu-isu tersebut telah dijadikan agenda oleh pihak tertentu untuk membangkitkan sentimen politik dengan merendah-rendahkan dan menghukum pihak lain tanpa berasaskan kebenaran dan fakta.
“Daripada hal sebesar insiden kematian anak kita, Zara di Sabah, hinggalah isu Jalur Gemilang yang harus kita muliakan — semua ini menjadi agenda menghangatkan suhu.
“Sebab itu saya gesa dan beri arahan jelas kepada badan penguatkuasaan, jika ada tokoh besar atau kecil, tokoh politik atau masyarakat terbabit dalam jenayah ugutan serta hasutan… masa amaran telah berakhir,” kata Anwar ketika himpunan penjawat awam di Putrajaya pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar berkata pihak berkuasa yang tidak dapat menjalankan tanggungjawab bagi memastikan keamanan negara wajar digantikan dengan orang berprinsip dan berani bertindak.
“Tindakan tegas mesti dan wajib diambil. Kalau ada rakan-rakan yang mempunyai amanah, tidak bersedia, mereka beritahu saya. Kita tukar mereka dan ambil orang yang berprinsip tegas,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak membuat spekulasi liar berkait kes kematian Zara Qairina Mahathir, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa melakukan siasatan.
“Ini belum apa-apa, dah sudah tudingan (tuding menuding. Anak VVIP ini, orang ini. Kita ini siapa? (Kalau begitu) Tutup saja pejabat-pejabat polis semua. Kalau dah semua keputusan kita boleh buat tanpa siasat.
“Jadi harus ada siasatan segera, telus, adil dan terbuka. Jangan pakai hukum semberono,” katanya.a



